KLANG: Sebuah kuil tidak berdaftar di Klang disyaki dijadikan stor penyimpanan dadah oleh sindiket pengedaran, susulan penemuan 20.6 kilogram (kg) heroin dalam serbuan polis baru-baru ini.
Rampasan itu dilakukan dalam operasi selama seminggu bermula 13 Oktober lalu yang turut berjaya menumpaskan empat sindiket pengedaran dadah menerusi lima serbuan berasingan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, sebanyak 46 bungkusan plastik mengandungi heroin ditemukan di dalam stor kuil berkenaan.
Menurutnya, semakan mendapati tapak tanah itu milik kerajaan dan diperuntukkan bagi tujuan pembentungan.
Polis tidak menolak kemungkinan premis berkenaan digunakan sebagai penyamaran untuk kegiatan pengedaran dadah, malah dipercayai berfungsi sebagai stor penyimpanan sejak awal tahun ini.
Seorang lelaki yang bekerja sambilan di kuil itu turut ditahan bagi membantu siasatan.
Shazeli berkata, siasatan juga dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan wujud unsur gangsterisme di lokasi berkenaan, namun setakat ini kes berkenaan berkaitan sindiket pengedaran dadah.
Selain Klang, dua lagi serbuan dilakukan di Rawang dan dua di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Keseluruhan operasi itu menyaksikan polis merampas 219.7kg pelbagai jenis dadah bernilai RM16.2 juta, termasuk heroin, bunga ganja, ganja, ketamin dan ekstasi.
Lapan suspek ditahan dalam lima serbuan berkenaan, termasuk empat warga asing yang dipercayai bertindak sebagai keldai dadah dari Eropah dan Asia Timur.
Dadah yang dibawa mereka dikesan ketika transit di Malaysia.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.










