KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) bakal mempertaruhkan kombinasi muka baharu dan wakil rakyat berpengalaman bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, dengan beberapa penyandang dijangka tidak meneruskan khidmat atas pilihan sendiri.
Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata senarai calon gabungan itu akan dimuktamadkan menerusi mesyuarat khas sebelum diumumkan dalam masa terdekat.
Beliau menjelaskan, perubahan dalam barisan calon bukan semata-mata disebabkan keputusan menggugurkan penyandang, sebaliknya terdapat wakil rakyat yang memilih untuk berundur dan tidak mempertahankan kerusi masing-masing.
“Apa yang saya boleh ceritakan di sini ialah ia akan menampilkan gabungan calon berpengalaman dan muka baharu.
“Sudah tentu ada muka baharu, (ada penyandang) bukan digugurkan (tetapi) mengundur diri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Dewan Perdana, Kompleks Satria Pertiwi, hari ini.
Pembubaran DUN Sarawak berkuat kuasa 26 Oktober selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, sekali gus membuka laluan kepada PRN ke-13.
Perhatian kini tertumpu kepada senarai akhir calon GPS, khususnya kawasan yang bakal menyaksikan perubahan wakil rakyat serta kemunculan muka baharu dalam persaingan merebut mandat pengundi.
GPS dianggotai empat parti komponen, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Pada PRN Sarawak 18 Disember 2021, GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan.










