KUALA LUMPUR: Pendaftaran fail cukai pendapatan bagi agensi dan syarikat berkepentingan Kerajaan Persekutuan dipusatkan di Cawangan Pembayar Cukai Besar Kuala Lumpur.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembayaran cukai pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pula boleh dibuat di mana-mana lokasi dan tidak tertakluk kepada negeri tempat aktiviti atau operasi perniagaan dijalankan.
Menurut beliau, bayaran cukai pendapatan direkodkan berdasarkan lokasi pendaftaran fail pembayar cukai, bukannya lokasi aktiviti atau operasi perniagaan berkenaan.
“Ketetapan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 mengenai pendaftaran fail cukai pendapatan, pengurusan fail pembayar cukai dan kaedah bayaran cukai pendapatan adalah untuk memastikan pengendalian fail pembayar cukai dapat diuruskan dengan cekap dan teratur.
“Ia juga bagi memastikan kutipan cukai pendapatan dapat dilaksanakan secara efisien dan berkesan, selaras dengan peruntukan perundangan percukaian yang ditetapkan,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan Datuk Jonathan Yasin (GRS-Ranau) yang meminta penjelasan sama ada semua agensi dan syarikat berkepentingan Kerajaan Persekutuan yang beroperasi serta memperoleh keuntungan di Sabah telah diarahkan membayar cukai melalui LHDN Sabah.
Jonathan turut membangkitkan dakwaan bahawa kegagalan berbuat demikian melanggar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
Anwar berkata, Akta Cukai Pendapatan 1967 [Akta 53] menetapkan prosedur dan tanggungjawab yang perlu dipatuhi pembayar cukai, termasuk pendaftaran fail cukai pendapatan, jenis taksiran cukai, penghantaran Borang Nyata Cukai Pendapatan dan pembayaran cukai kepada LHDN.
Menurutnya, Seksyen 66A akta berkenaan memperuntukkan pendaftaran fail cukai pendapatan boleh dilaksanakan serentak dengan pendaftaran Nombor Pengenalan Cukai (TIN).
Katanya, proses pendaftaran boleh dibuat menerusi aplikasi e-Daftar atau secara fizikal di mana-mana pejabat LHDN berhampiran.
Beliau menjelaskan, lokasi pendaftaran fail cukai pendapatan individu ditentukan berdasarkan poskod alamat yang didaftarkan, manakala bagi syarikat, penetapannya berdasarkan poskod alamat ibu pejabat yang didaftarkan.
Bagaimanapun, katanya, syarikat boleh memohon pertukaran lokasi pendaftaran fail cukai sekiranya terdapat keperluan tertentu, termasuk apabila ibu pejabat berpindah ke lokasi lain.
“Permohonan pemindahan fail tersebut hendaklah dikemukakan secara bertulis kepada pejabat LHDN di lokasi fail asal syarikat didaftarkan,” katanya.
Anwar berkata, pembayaran cukai pendapatan juga boleh dilaksanakan menerusi kaedah yang ditetapkan, termasuk platform elektronik dan ejen kutipan yang dilantik, tanpa terikat kepada lokaliti atau negeri tempat perniagaan beroperasi.










