PN Kembali Fokus PRN Melaka Susulan Mahkamah Gantung Notis Pembatalan RoS

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan memperhebat persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas Mahkamah Tinggi hari ini menggantung pelaksanaan notis Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung pembatalan pendaftaran gabungan itu.

Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menyambut baik keputusan berkenaan dan menegaskan gabungan itu akan terus mempertahankan haknya menerusi saluran undang-undang.

Beliau berkata, usaha untuk membatalkan pendaftaran PN tidak akan menghalang gabungan itu daripada meneruskan perjuangan politiknya.

Ahmad Samsuri turut menggesa seluruh jentera PN memberi tumpuan kepada PRN Melaka dengan memperkukuh persiapan dan kerjasama serta menawarkan agenda terbaik kepada rakyat.

Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan PN untuk menggantung tindakan RoS sehingga semakan kehakiman substantif selesai diputuskan.

Hakim Datuk Azizan Md Arshad memutuskan penangguhan itu wajar diberikan berikutan keadaan luar biasa, termasuk risiko kemudaratan terhadap aktiviti politik PN dan penyertaannya dalam sistem pilihan raya negara.

Sebelum ini, RoS membatalkan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan gabungan itu tidak berjaya menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.

Keputusan RoS dibuat mengikut Subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832), selepas meneliti dokumen serta representasi PN yang dikemukakan pada 12 Oktober lalu.

BBerkaitan

Latest articles