KUALA LUMPUR: Krisis ketiadaan barisan Exco Negeri Sembilan yang berlarutan sejak September lalu diyakini mampu diselesaikan, namun Ketua UMNO negeri itu, Datuk Jalaluddin Alias, tidak memberikan sebarang tempoh masa untuk menamatkan kemelut berkenaan.
Jaminan itu disuarakan Jalaluddin (BN-Jelebu) ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, selepas dicelah Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang mempersoalkan sama ada ketiadaan Exco baharu akan menjejaskan pembangunan negeri.
“Hulu Terengganu, jangan risau… (perkara itu) akan selesai. Biar Negeri Sembilan selesaikan masalah Negeri Sembilan. Insya-Allah, (marilah kita) doa sama-sama,” katanya.
Negeri Sembilan tidak mempunyai barisan Exco sejak 20 September lalu selepas Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, membatalkan pelantikan 10 anggota Exco berikutan tindakan mereka menyokong deklarasi untuk menyingkirkan baginda.
Kemelut itu mencetuskan kebimbangan terhadap kelancaran pentadbiran negeri, khususnya dalam urusan yang memerlukan keputusan dan kelulusan kerajaan.
Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, sebelum ini mendakwa ketiadaan Exco menjejaskan urusan pelaburan dan perniagaan, selain menyebabkan keputusan penting berkaitan dasar serta kelulusan tertangguh.
Dalam pada itu, Jalaluddin menegaskan pembangunan ekonomi Negeri Sembilan perlu diteruskan meskipun negeri berdepan kemelut pentadbiran.
Beliau berkata, data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan nilai ekonomi negeri itu mencecah RM58 bilion tahun lalu.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Persekutuan membantu memperkukuh pembangunan koridor ekonomi negeri menerusi penyediaan rangkaian pengangkutan dan utiliti yang mencukupi, kemudahan logistik serta tenaga kerja berkemahiran.










