KUALA LUMPUR: “Kalau betul, silakan tunjukkan bukti!” Itu cabaran pelakon Zizie Izette Abdul Samad kepada pihak yang mendakwa Allahyarham suaminya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, meninggalkan wang simpanan berjumlah RM1.17 bilion dalam akaun bank.
Zizie, 48, menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah dan meminta individu terbabit mengemukakan bukti rasmi, termasuk penyata bank serta butiran akaun, bagi mengesahkan perkara berkenaan.
Menerusi hantaran di Instagram, beliau turut meluahkan rasa hairan apabila orang luar didakwa lebih mengetahui kewujudan wang berkenaan, sedangkan dirinya sendiri tidak pernah mengetahui perkara itu.
Malah, ibu kepada lima anak itu berseloroh bahawa dia juga berharap khabar angin tersebut benar kerana ia pastinya dapat mengubah kehidupan mereka sekeluarga.
Zizie turut mengingatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya mengaitkan nama Allahyarham dalam spekulasi yang belum dibuktikan, apatah lagi selepas pemergiannya menyebabkan beliau tidak lagi berpeluang mempertahankan diri.
Beliau turut menasihati masyarakat agar lebih berhati-hati sebelum menyebarkan dakwaan yang boleh menjadi fitnah.
Untuk rekod, Zizie mendirikan rumah tangga dengan Bung Moktar pada 2009. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga anak kandung selain membesarkan dua anak angkat.
Bung Moktar, bekas Ahli Parlimen Kinabatangan, meninggal dunia pada 5 Disember 2025 di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah, akibat kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan paru-paru yang serius.










