Edar Jaket bergambar ADUN DAP Di Sekolah, Pemuda MCA Gesa KPM Ambil Tindakan

Kuala Lumpur : Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya berhubung edaran jaket bergambar wajah ADUN Pasir Bedamar, Woo Kah Leong, kepada murid sekolah.

Jaket berkenaan diedarkan kepada pasukan gendang SJK (C) Wan Hwa 2, sempena Festival Gendang Negeri Perak. Menurut hantaran Woo di Facebook, sekolah itu merupakan hentian kelima program edaran jaket tersebut.

Jaket putih bercorak merah itu memaparkan karikatur wajah Woo, yang juga Ketua DAPSY Kebangsaan, bersama slogan dalam tulisan Cina 坚守希望, yang bermaksud “Kekalkan Harapan”.

Dalam hantarannya, Woo memuji pencapaian pasukan gendang sekolah itu. Menurutnya, pasukan tersebut ditubuhkan pada 2025 dan berjaya mara ke peringkat akhir pertandingan tahun ini.

Bagaimanapun, Neow mendakwa edaran jaket itu merupakan propaganda politik.

“Sekolah bukan kawasan berpolitik dan kanak-kanak bawah umur sepatutnya dijauhi agenda dan propaganda politik sebegini!

“Terdesak sangat sampai perlu ada gambar muka YB dan slogan ‘Kekalkan Harapan’ di jaket yang diedarkan?” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Neow turut mempersoalkan sama ada surat pekeliling kementerian dipatuhi, memandangkan Timbalan Menteri Pendidikan juga daripada DAP.

“Berpolitik biarlah ada etika dan beradab,” katanya.

Setakat ini, Woo dan KPM belum memberi sebarang maklum balas berhubung kritikan tersebut. – TRI

BBerkaitan

Latest articles