Semakan Kehakiman Kes Rasuah Zahid Ditangguh Sementara Tunggu Rayuan

KUALA LUMPUR: Prosiding semakan kehakiman Majlis Peguam Malaysia terhadap keputusan Peguam Negara (AG) menghentikan pendakwaan rasuah terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Penangguhan itu dibenarkan Hakim Mahkamah Tinggi, Azizan Arshad, selepas menerima permohonan AG dalam prosiding di kamar hakim hari ini.

Peguam yang mewakili Zahid, Guok Ngek Seong, berkata keputusan berkenaan dibuat susulan Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada AG dan Zahid untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membolehkan Majlis Peguam meneruskan cabaran undang-undang itu.

Menurutnya, tarikh pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan masih belum ditetapkan berikutan notis rayuan hanya difailkan pada 19 Oktober lalu.

Perkembangan itu menyaksikan tindakan Majlis Peguam mencabar keputusan menghentikan pendakwaan terhadap Zahid terpaksa menunggu perkembangan lanjut di mahkamah tertinggi negara.

Peguam Persekutuan, Safiyyah Omar dan Imtiyaz Wizni Aufa Othman hadir mewakili AG, manakala Majlis Peguam diwakili S Abhilaash.

Awal bulan ini, Mahkamah Persekutuan membenarkan AG dan Zahid mendapatkan kebenaran merayu selepas mendapati kedua-duanya memenuhi syarat ambang di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Rayuan itu mencabar keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mei lalu yang sebulat suara memihak kepada Majlis Peguam, sekali gus membolehkan permohonan semakan kehakiman berkenaan diteruskan.

Mahkamah Rayuan ketika itu memutuskan bahawa cabaran Majlis Peguam tertumpu kepada keputusan eksekutif AG untuk menghentikan pendakwaan, bukannya perintah mahkamah jenayah yang memberikan Zahid pelepasan tanpa pembebasan (DNAA).

Untuk rekod, Zahid diberikan DNAA bagi kesemua 47 pertuduhan rasuah berkaitan Yayasan Akalbudi pada September 2023.

BBerkaitan

Latest articles