KUCHING: Video dipercayai dirakam seorang pelajar lelaki sebelum insiden seorang guru cedera ketika cuba merampas objek tajam daripadanya di sebuah sekolah antarabangsa di sini, pagi tadi, kini tular di media sosial.
Bagaimanapun, kandungan dan tujuan rakaman itu masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Saifullizan Ishak, mengesahkan kejadian berkenaan, namun menafikan dakwaan bahawa pelajar itu menggunakan kapak.
Sebaliknya, objek terbabit dikenal pasti sebagai pisau pena.
Dalam kejadian itu, guru berkenaan cedera ketika cuba merampas objek tersebut sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Pelajar terbabit kemudian berjaya dikawal dan dibawa ke pejabat pengetua.
Polis turut menjalankan pemeriksaan terhadap beg pelajar berkenaan dan menemui satu barangan yang memerlukan pemeriksaan lanjut.
Tiada kecederaan lain dilaporkan setakat ini. Pihak sekolah turut mengarahkan premis ditutup sementara bagi memberi laluan kepada siasatan, selain meminta ibu bapa mengambil anak masing-masing lebih awal.
Pelajar yang berada berhampiran lokasi kejadian juga dipindahkan bagi memastikan keselamatan mereka.










