KUALA LUMPUR: Kerajaan belum membuat sebarang persetujuan atau komitmen untuk menyalurkan sokongan pembiayaan kepada Kumpulan AirAsia, sama ada dalam bentuk jaminan, pinjaman atau suntikan dana awam.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang permohonan bantuan kerajaan daripada mana-mana syarikat akan dipertimbangkan berdasarkan kepentingan negara dan rakyat, kemampanan fiskal serta perlindungan dana awam.
“Setakat ini, Kerajaan tidak membuat sebarang persetujuan atau komitmen untuk memberikan sokongan pembiayaan kepada AirAsia, sama ada dalam bentuk jaminan, pinjaman atau suntikan dana awam,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan mempertimbangkan sebarang bentuk bantuan kewangan kepada syarikat penerbangan swasta itu serta jumlah dan bentuk sokongan yang mungkin diberikan.
Menurut Anwar, kerajaan sentiasa memantau perkembangan ekosistem penerbangan negara, termasuk kesan krisis Asia Barat, kenaikan harga bahan api global dan pergerakan mata wang terhadap syarikat penerbangan serta ketersambungan udara rakyat.
Katanya, AirAsia merupakan antara pemain penting dalam sektor penerbangan negara apabila menyumbang kira-kira 41 peratus daripada 104.5 juta pergerakan penumpang di lapangan terbang kendalian Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada 2025.
Syarikat penerbangan itu turut menguasai hampir 60 peratus daripada pergerakan penumpang domestik dalam tempoh sama.
Anwar berkata, kepentingan AirAsia lebih ketara di Sabah dan Sarawak apabila syarikat itu membawa masing-masing 62 peratus dan 70 peratus daripada jumlah penumpang pada 2025, tidak termasuk lapangan terbang bagi perkhidmatan udara luar bandar (STOLports).
Di Semenanjung Malaysia, AirAsia turut merekodkan bahagian penumpang yang tinggi di Johor sebanyak 70 peratus, Terengganu (56 peratus), Langkawi (56 peratus), Alor Setar (49 peratus) dan Kelantan (46 peratus).
Di samping itu, AirAsia membawa kira-kira tiga perempat daripada keseluruhan penumpang di KLIA2.
Menurut Anwar, kerajaan mengambil maklum isu berkaitan AirAsia, termasuk kerugian yang dilaporkan dalam keputusan kewangan suku tahunan terkininya.
Katanya, pihak AirAsia mengaitkan kerugian berkenaan terutamanya dengan kenaikan mendadak harga bahan api jet susulan perkembangan konflik di Asia Barat.
Beliau berkata, kerajaan turut mengadakan libat urus secara berkala dengan pemain industri penerbangan serta mendapatkan pandangan pakar teknikal dan pihak berkepentingan lain.
“Sebarang permohonan sokongan Kerajaan, daripada mana-mana syarikat dalam apa jua sektor, dipertimbangkan berdasarkan kepentingan negara dan rakyat, kemampanan fiskal Kerajaan serta perlindungan dana awam, selaras dengan undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa,” katanya.
Anwar menegaskan kerajaan akan terus memantau perkembangan berkenaan dengan teliti dan mengutamakan kepentingan rakyat, selain tidak mengulas spekulasi atau angka yang dilaporkan media bagi mengelakkan kesan terhadap pasaran serta kepentingan pekerja, pelanggan dan pihak berkepentingan.










