Rosol Desak Anwar Perjelas Dakwaan Menteri Terima RM9.5 Juta Berkait Mafia Korporat

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan dakwaan seorang menteri menerima RM9.5 juta bagi menyelesaikan isu berkaitan kegiatan mafia korporat.

Rosol membangkitkan perkara itu ketika mengajukan soalan tambahan kepada Anwar pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau turut mempersoalkan sejauh mana siasatan dijalankan terhadap individu yang didakwa terlibat, termasuk sama ada terdapat menteri yang turut disiasat dalam operasi berkaitan.

“Dikatakan juga bahawa dalam mafia korporat ini ada seorang menteri yang telah menerima RM9.5 juta. Persoalannya ialah sejauh mana siasatan dilakukan untuk membawa mereka ini?” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Rosol turut membangkitkan nama beberapa individu yang dikaitkan dengan dakwaan berkenaan serta mempersoalkan sama ada wang RM9.5 juta itu termasuk dalam sitaan atau mempunyai bentuk lain.

Menjawab persoalan itu, Anwar berkata, dakwaan mengenai bayaran RM9.5 juta tersebut merupakan kenyataan politik yang tidak disertakan bukti, selain menteri berkenaan telah mencabar dakwaan itu melalui saluran mahkamah.

“Yang dibangkitkan tentang menteri RM9.5 juta, itu kenyataan politik tidak disandarkan apa-apa keterangan, dan menteri berkenaan telah pun mencabar dan menjawab dan bawa urusan itu ke mahkamah,” katanya.

Anwar menegaskan, semua dakwaan perlu melalui proses siasatan dan pendakwaan sebelum sebarang kesimpulan dibuat, sambil mengingatkan supaya tiada pihak dihukum berdasarkan dakwaan semata-mata.

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan tidak akan melindungi mana-mana individu berdasarkan keahlian politik, termasuk jika kes melibatkan anggota partinya sendiri.

“Siapa yang sakau? Termasuk kalau dalam parti saya pun, jalankan. Malah seperti yang Yang Berhormat tahu, ada kes-kes pendakwaannya melibatkan ahli-ahli parti Keadilan,” katanya.

Menurut Anwar, beliau tidak akan menggunakan kuasa untuk menghalang siasatan atau pendakwaan, termasuk terhadap bekas setiausaha politiknya.

Beliau turut membandingkan tindakan terhadap dakwaan semasa dengan kes-kes korporat terdahulu yang menurutnya tidak diambil tindakan sewajarnya, termasuk kes Serba Dinamik yang dikaitkan dengan kerugian besar kepada syarikat dan pemegang saham.

“Kalau ada kes, saya tidak nak tutup. Kalau ada bukti, dedahkan. Ini perbezaannya,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles