FAM Fokus Tiga Langkah Strategik Pulihkan Reputasi Bola Sepak Negara

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi tumpuan kepada tiga langkah strategik bagi memulihkan reputasi dan memperkukuh prestasi pasukan kebangsaan susulan isu membabitkan pemain naturalisasi dan pemain warisan sebelum ini.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, langkah itu merangkumi reformasi tadbir urus, pelan pemulihan skuad kebangsaan serta pemantapan ekosistem liga tempatan.

Menurutnya, usaha berkenaan bertujuan memastikan pembangunan bola sepak negara lebih mampan selain meningkatkan prestasi Malaysia di peringkat Asia dan antarabangsa menjelang 2030.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin bagi menjawab soalan Zakri Hassan (PN-Kangar) mengenai perancangan strategik FAM untuk mengembalikan reputasi dan ranking pasukan negara.

Menurut Taufiq, reformasi tadbir urus dan audit prosedur pemain akan dilaksanakan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) serta Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Selain itu, pelan pemulihan skuad kebangsaan akan memberi penekanan kepada pemilihan pemain berdasarkan prestasi dan kelayakan yang sah, selain perancangan perlawanan antarabangsa yang lebih berfokus.

Beliau berkata, pemantapan ekosistem liga tempatan turut menjadi keutamaan bagi meningkatkan mutu pertandingan serta pembangunan kelab dan kejohanan peringkat umur.

Usaha itu juga merangkumi pemantapan sistem pelesenan kelab serta pendidikan dan pelesenan jurulatih bagi memastikan pembangunan bakat tempatan dilaksanakan secara sistematik dari peringkat akar umbi hingga profesional.

Dalam pada itu, Taufiq berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) akan terus bekerjasama dengan FAM bagi memperkukuh pembangunan serta kemajuan bola sepak negara.

Bagaimanapun, katanya, kerjasama itu perlu mengambil kira prinsip autonomi badan sukan yang menuntut kebebasan dalam aspek tadbir urus, struktur organisasi dan pemilihan kepimpinan.

Prinsip berkenaan selaras dengan Artikel 5 Piagam Olimpik serta Statut 15(c) FIFA yang menghendaki persatuan bola sepak menguruskan urusannya secara bebas tanpa pengaruh pihak ketiga.

Beliau berharap kerjasama berterusan semua pihak berkepentingan dalam pembangunan pemain, peningkatan kualiti pertandingan dan pemantapan tadbir urus dapat meningkatkan prestasi serta daya saing pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa.

BBerkaitan

Latest articles