KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat kecoh apabila Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) memetik hadis mengenai tanda orang munafik ketika membahaskan Belanjawan 2027 pada Isnin.
Kekecohan tercetus apabila Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(1) berhubung penggunaan perkataan “munafik” dalam ucapan Takiyuddin.
Rayer mempersoalkan penggunaan perkataan berkenaan selepas Takiyuddin memetik hadis Nabi Muhammad SAW yang menyebut tiga tanda orang munafik.
Takiyuddin memulakan ucapannya dengan membaca hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah yang menyebut tiga tanda berkenaan, iaitu apabila bercakap, seseorang berdusta; apabila berjanji, dia memungkiri janji; dan apabila diberikan amanah, dia mengkhianatinya.
Beliau kemudian mengaitkan hadis itu dengan perkataan *waad*, yang bermaksud janji dalam bahasa Arab, sambil menyatakan perkataan tersebut banyak digunakan dalam ucapan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri.
“Hadis ini menyebut siapa yang selalu berjanji, tapi sering kali mengingkari janji, itu adalah salah satu tanda, iaitu beliau adalah orang yang boleh dianggap munafik atau hipokrit,” katanya.
Bagaimanapun, kenyataan itu mencetuskan bantahan Rayer yang mempersoalkan penggunaan perkataan “munafik” terhadap Perdana Menteri dalam perbahasan Dewan Rakyat.
Rayer berhujah bahawa perkataan berkenaan membawa maksud serius, lebih-lebih lagi selepas Takiyuddin memetik hadis sebelum menggunakannya dalam konteks perbahasan politik.
Situasi itu mencetuskan pertikaman lidah antara beberapa Ahli Parlimen apabila Takiyuddin meminta Rayer mengemukakan usul kepada pejabat Speaker sekiranya mahu membangkitkan perkara tersebut.
Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng kemudian meminta Rayer mengemukakan usul mengikut saluran ditetapkan, selain mengarahkan ahli Parlimen yang mencelah supaya bertenang dan memberi ruang kepada perbahasan diteruskan.
Suasana Dewan Rakyat turut diwarnai beberapa celahan daripada Ahli Parlimen lain sebelum Takiyuddin meneruskan ucapannya.
Beliau kemudian mempersoalkan keberkesanan pelaksanaan belanjawan kerajaan, khususnya dari segi pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI), kecekapan perbelanjaan dan manfaat sebenar kepada rakyat.
Takiyuddin menegaskan prestasi belanjawan tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah peruntukan yang dibelanjakan semata-mata, sebaliknya berdasarkan sejauh mana wang awam mencapai objektif asal dan memberikan hasil yang boleh diukur.
Menurutnya, penilaian terhadap belanjawan terdahulu penting bagi memastikan setiap kementerian, jabatan dan agensi bertanggungjawab terhadap perbelanjaan serta mengelakkan pembaziran wang awam.










