Wan Saiful Gesa Ladang Babi Di Tasek Gelugor Ditutup Segera

TASEK GELUGOR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa kerajaan menutup segera ladang babi di kawasan Kampung Selamat susulan dakwaan pencemaran air dan bau busuk yang didakwa masih berlarutan sejak puluhan tahun lalu.

Beliau berkata, masalah itu perlu diselesaikan secara tuntas kerana penduduk berhampiran terus menanggung kesan pencemaran walaupun kerajaan sebelum ini memaklumkan keadaan di kawasan berkenaan terkawal.

Menurutnya, berdasarkan jawapan Timbalan Menteri di Kamar Khas, hasil pemantauan pada 15 Julai 2026 mendapati tiada pelepasan sisa ternakan yang signifikan ke Parit Cina selepas semua ladang menghantar sisa ternakan ke loji biogas.

Bagaimanapun, Wan Saiful mendakwa keadaan sebenar yang dialami penduduk setempat tidak selari dengan kenyataan tersebut.

“Walaupun Timbalan Menteri kata terkawal, tetapi di rumah saya, yang tidak jauh daripada ladang itu, buka pintu sahaja boleh bau busuk.

“Ada juga penduduk yang melihat warna air sungai berubah menjadi hitam. Orang yang tidak terkesan mungkin tidak rasa apa-apa, tetapi kami yang duduk dekat kawasan itu menanggung kesan setiap hari,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.

Beliau turut menyokong tindakan jawatankuasa penduduk Tasek Gelugor yang menjalankan ujian sendiri terhadap pencemaran di Parit Cina.

Katanya, dua ujian yang dijalankan pada 1 September dan 1 Oktober lalu didakwa menunjukkan pencemaran air masih berterusan.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menyediakan penyelesaian khusus bagi Kampung Selamat, termasuk menetapkan garis masa pelaksanaan, kayu ukur pencapaian dan pihak yang bertanggungjawab menyelesaikan masalah berkenaan.

Wan Saiful turut mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pendekatan seperti yang dilaksanakan di Selangor, apabila penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat dihentikan secara berperingkat, selain usaha pemulihan tanah dan penyediaan sumber pendapatan alternatif kepada penternak.

Menurutnya, pendekatan itu boleh dijadikan model untuk menangani isu sama di Tasek Gelugor, dengan kebajikan penternak turut diberikan perhatian.

“Kita wajib pastikan penternak tidak ditinggalkan tanpa bantuan. Jangan zalimi mereka. Sebaliknya, kerajaan perlu menyediakan pelan peralihan yang adil, tempoh pelaksanaan yang jelas, penilaian tanah, bantuan kewangan yang bersesuaian dan latihan supaya mereka boleh beralih kepada penternakan atau pertanian lain,” katanya.

Beliau juga mengusulkan supaya Kerajaan Persekutuan meneliti keperluan untuk meneruskan operasi ladang babi berskala besar di negara ini, termasuk mempertimbangkan import daging babi sebagai alternatif kepada pengeluaran tempatan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan isu berkenaan perlu dinilai berdasarkan aspek pencemaran, kebajikan rakyat dan kesesuaian industri, bukannya dijadikan isu perkauman atau agama.

Dalam perbahasan sama, Wan Saiful turut memohon kerajaan mempertimbangkan pembinaan sebuah sekolah rendah baharu di Ara Kuda menerusi Belanjawan 2027.

Katanya, pertambahan jumlah rumah dan keluarga di kawasan itu menyebabkan sebahagian ibu bapa terpaksa menghantar anak ke sekolah di Lunas, Kedah, kerana ketiadaan sekolah berhampiran.

Beliau turut meminta Kementerian Kesihatan memberi perhatian kepada masalah tempoh menunggu yang lama dan kekurangan kemudahan parkir di Klinik Kesihatan Tasek Gelugor.

Menurutnya, walaupun petugas kesihatan telah memberikan perkhidmatan dengan bersungguh-sungguh, beberapa aspek penyampaian perkhidmatan masih boleh ditambah baik demi keselesaan penduduk setempat.

BBerkaitan

Latest articles