Takiyuddin Persoal Pemecatan 10 Exco Negeri Sembilan, Dakwa Bercanggah Perlembagaan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mempersoalkan tindakan menamatkan perkhidmatan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang didakwa bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Negeri.

Beliau berkata, tindakan berkenaan menimbulkan persoalan mengenai pematuhan terhadap Perlembagaan Negeri Sembilan, khususnya berhubung kuasa pembatalan pelantikan Exco oleh pemerintah negeri.

Menurutnya, Perkara 38(5) Perlembagaan Negeri Sembilan memperuntukkan bahawa pelantikan seseorang ahli Exco, selain Menteri Besar, boleh dibatalkan oleh pemerintah negeri atas nasihat Menteri Besar.

“Dalam Perlembagaan Negeri Sembilan, seseorang ahli Exco selain Menteri Besar boleh memegang jawatannya atas perkenan raja, kecuali pelantikan Exco itu telah dibatalkan oleh raja atas nasihat Menteri Besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Takiyuddin mendakwa, berdasarkan maklumat yang diketahuinya, tiada nasihat daripada Menteri Besar Negeri Sembilan diberikan bagi membatalkan pelantikan 10 Exco berkenaan.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menjelaskan asas perlembagaan yang digunakan bagi mengesahkan tindakan tersebut, termasuk pendirian Peguam Negara yang dilaporkan menyatakan tindakan berkenaan sah di sisi Perlembagaan.

“Kalau pihak kerajaan boleh membuktikan terdapat nasihat itu, buktikanlah. Tetapi kita difahamkan tidak ada nasihat daripada Menteri Besar Negeri Sembilan untuk memecat 10 orang ahli Exco ini,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan peruntukan Perlembagaan yang dirujuk bagi menyokong keputusan berkenaan dan meminta Menteri Undang-Undang memberikan penjelasan mengenai perkara itu.

Dalam pada itu, Takiyuddin membangkitkan Perkara 71(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh jaminan Persekutuan terhadap hak dan kedudukan raja serta peruntukan berkaitan pemerintah Negeri Sembilan.

Beliau mahu kerajaan Persekutuan menjelaskan sejauh mana jaminan diberikan bagi memastikan peruntukan Perlembagaan negeri dihormati dan dilaksanakan tanpa campur tangan yang bercanggah dengan kerangka perlembagaan.

Menurutnya, isu berkenaan wajar dibincangkan di Dewan Rakyat memandangkan Perlembagaan Persekutuan dan pindaan berkaitan merupakan perkara yang berada dalam lingkungan tanggungjawab Parlimen.

Takiyuddin menegaskan, penjelasan kerajaan penting bagi memperjelas kedudukan undang-undang berhubung tindakan terhadap 10 Exco Negeri Sembilan serta memastikan segala keputusan dibuat selaras dengan peruntukan perlembagaan yang berkuat kuasa.

BBerkaitan

Latest articles