KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia menghulurkan bantuan kepada Indonesia bagi membendung kebakaran hutan dan tanah yang mencetuskan jerebu rentas sempadan, selain menggesa tindakan lebih tersusun melalui mekanisme kerjasama di peringkat ASEAN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia mengikuti rapat perkembangan kebakaran berkenaan yang bukan sahaja menjejaskan kesihatan dan kehidupan rakyat, malah memaksa penutupan sekolah di beberapa negeri dan kawasan di negara ini.
Beliau menegaskan kesediaan Malaysia untuk membantu Indonesia kekal seperti yang pernah ditawarkan sebelum ini bagi menangani bencana yang memberi kesan merentasi sempadan negara.
“Malaysia kekal bersedia menghulurkan bantuan sepertimana yang telah ditawarkan sebelum ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar turut mengiktiraf usaha pemerintah Indonesia yang mengerahkan puluhan ribu anggota serta pelbagai aset udara bagi memadamkan kebakaran hutan dan tanah yang berlaku.
Bagaimanapun, beliau mengakui usaha mengawal kebakaran itu berdepan cabaran besar berikutan keluasan kawasan terjejas serta keadaan cuaca yang tidak menentu.
Menurut beliau, isu jerebu rentas sempadan tidak boleh ditangani secara bersendirian, sebaliknya memerlukan komitmen dan tanggungjawab bersama semua negara terlibat.
Justeru, Malaysia mengusulkan mekanisme kerjasama di peringkat ASEAN bagi memperkukuh penyelarasan, meningkatkan kesiapsiagaan dan memastikan tindakan kolektif dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Kita telah mengusulkan mekanisme kerjasama pada peringkat ASEAN bagi memperkukuh penyelarasan, kesiapsiagaan dan tindakan kolektif dalam menangani jerebu rentas sempadan,” katanya.
Anwar berkata pendekatan bersepadu itu selaras dengan hubungan erat Malaysia-Indonesia serta semangat kerjasama serantau dalam menghadapi cabaran alam sekitar yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.










