Pearly-Thinaah Tamatkan Kemarau 18 Tahun, Muncul Juara Terbuka Denmark

ODENSE: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, melakar sejarah apabila muncul juara Terbuka Denmark, sekali gus menamatkan penantian 18 tahun Malaysia untuk gelaran dalam acara itu.

Pasangan nombor lima dunia itu mempamerkan aksi cemerlang apabila menundukkan beregu Jepun, Hinata Suzuki-Nao Yamakita, menerusi kemenangan straight set 21-18, 21-11 dalam perlawanan akhir Jelajah Dunia Super 750 di Arena SJ Bank, Odense.

Perlawanan yang berlangsung selama 36 minit itu menyaksikan Pearly-Thinaah mengatasi pasangan di ranking ke-21 dunia untuk mengesahkan kejuaraan berprestij berkenaan.

Kejayaan itu turut menyaksikan mereka menjadi pasangan Malaysia kedua yang menjuarai Terbuka Denmark, selepas Wong Pei Tty-Chin Eei Hui melakukannya pada 2008.

Lebih manis, gelaran itu merupakan kejuaraan Jelajah Dunia kedua buat Pearly-Thinaah tahun ini selepas mereka menjuarai Terbuka Indonesia pada Januari lalu.

Kemenangan di Denmark juga menjadi bukti kebangkitan pasangan negara itu selepas melalui tempoh sukar untuk mendapatkan semula rentak permainan terbaik, khususnya selepas Pearly terpaksa berehat selama dua bulan pada Jun lalu akibat kecederaan belakang.

Kejayaan tersebut pastinya menyuntik keyakinan baharu buat Pearly-Thinaah dalam usaha memburu tempat ke saingan akhir Jelajah Dunia pada Disember ini, yang menghimpunkan lapan pasangan terbaik dunia.

Ketika ini, mereka berada di tangga keenam dalam senarai kelayakan dan dijangka memperbaiki kedudukan satu atau dua anak tangga apabila senarai terkini diumumkan Selasa ini.

Sebagai juara, Pearly-Thinaah membawa pulang trofi serta hadiah wang tunai berjumlah AS$70,300 (kira-kira RM287,000), selain mencipta satu lagi pencapaian penting buat badminton negara, khususnya dalam acara beregu wanita.

BBerkaitan

Latest articles