SEREMBAN: Tekanan pada bahagian leher dikenal pasti sebagai punca kematian seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) yang ditemukan maut di kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Nilai, Khamis lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, hasil awal bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) mengambil masa hampir lima jam bermula 9.40 pagi semalam.
Menurutnya, pemeriksaan turut menemukan tiga kesan tikaman dipercayai menggunakan senjata tajam pada tubuh mangsa, masing-masing dua di bahagian perut dan satu di pipi kanan.
Mangsa, wanita berusia lingkungan 30-an, ditemukan meninggal dunia di kuarters berkenaan dalam kejadian yang dipercayai berpunca daripada perselisihan faham dengan suaminya.
Sebelum ini, Alzafny memaklumkan polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 9.30 malam selepas suami mangsa, yang juga berusia lingkungan 30-an, menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor.
Lelaki terbabit dilaporkan hadir ke balai berkenaan untuk memaklumkan mengenai kematian isterinya.
Suspek kini direman sehingga 22 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.










