Wanita Ditahan Susulan Penemuan Mayat Bayi Tidak Sempurna Dalam Longkang

HULU TERENGGANU: Polis menahan seorang wanita berusia 23 tahun bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat bayi dalam keadaan tidak sempurna di dalam longkang di kawasan Perumahan Padang Setengge, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, wanita itu ditahan pada jam 3.30 petang selepas siasatan berkaitan kelahiran bayi berkenaan membawa kepada penahanannya.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati hanya sebahagian anggota badan bayi itu ditemukan, manakala jantina mangsa masih belum dapat dipastikan.

Beliau berkata, pasukan Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (D10) dan Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu turut membantu siasatan di lokasi kejadian.

“Bedah siasat sudah dijalankan, namun punca sebenar kematian belum dapat dikenal pasti kerana keadaan mayat tidak sempurna, termasuk ketiadaan sebahagian anggota badan dan organ dalaman,” katanya.

Sharudin berkata, wanita berkenaan akan dibawa ke mahkamah hari ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, media melaporkan penemuan mayat bayi berkenaan di kawasan perumahan itu, dengan jantina serta kewarganegaraannya masih belum dapat dikenal pasti selepas bedah siasat dijalankan.

BBerkaitan

Latest articles