KUALA LUMPUR: PKR menafikan sekeras-kerasnya dakwaan parti itu terbabit dalam cubaan memerangkap pemimpin Bersama, Nik Nazmi Nik Ahmad, susulan penahanannya oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung kesalahan berkhalwat.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari, menegaskan parti itu tidak pernah merancang, sama ada secara terbuka mahupun rahsia, untuk mengenakan mana-mana lawan politik menggunakan isu sedemikian.
Beliau berkata, PKR mempunyai banyak perkara lain yang perlu diberikan perhatian dan tidak mempunyai sebarang kepentingan untuk mengatur tindakan bagi memerangkap bekas Ahli Parlimen Setiawangsa itu.
“Tidak pernah dibincang atau diaturkan secara rahsia mahupun secara terbuka untuk memerangkap lawan politik. Itu bukan kerja kitalah,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Kenyataan itu menyusul selepas timbul dakwaan bahawa penahanan Nik Nazmi oleh Jais pada Khamis lalu mempunyai kaitan dengan percaturan politik.
Terdahulu, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) turut menolak dakwaan bahawa penahanan berkenaan merupakan satu bentuk penganiayaan atau perangkap terhadap pemimpin terbabit.
Pengerusinya, Salehuddin Saidin, menegaskan tindakan penguatkuasaan dibuat berdasarkan aduan rasmi yang diterima serta berpandukan undang-undang, tanpa sebarang manipulasi untuk mengenakan mana-mana pihak.
Nik Nazmi sebelum ini mengesahkan beliau adalah antara dua individu yang ditahan Jais di Petaling Jaya pada Khamis lalu berhubung dakwaan berkhalwat dengan seorang wanita bukan mahram di tempat tertutup.
Beliau mengakui hanya dirinya dan wanita berkenaan berada di lokasi ketika pegawai Jais tiba, namun menegaskan pertemuan itu tidak melibatkan sebarang perlakuan sumbang yang boleh menimbulkan syak wasangka.
Sebaliknya, beliau menjelaskan pertemuan itu bertujuan membincangkan projek bersama rakan-rakannya dan menyatakan kesediaan memberikan kerjasama dalam sebarang proses perundangan.
Susulan perkembangan itu, Bersama mengambil tindakan merehatkan Nik Nazmi daripada sebarang aktiviti parti selama tiga bulan.










