SEPANG: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 11 sebuah pangsapuri di Bandar Baru Salak Tinggi, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.54 pagi itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi selepas polis menerima laporan mengenai insiden berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan tindakan terhadap mana-mana individu yang didapati mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak kepada risiko kecederaan.
“Orang awam dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian ini.
“Individu yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Farizi Ramlee di talian 014-3145347 bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.










