KUALA LUMPUR: PAS menegaskan Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu diberi keutamaan dalam rundingan kerjasama politik berbanding parti lain, termasuk Wawasan yang dipimpin Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin, berkata pendirian itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Syura PAS yang dipengerusikannya baru-baru ini, dengan parti itu masih terbuka untuk mengadakan rundingan bersama mana-mana pihak.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keterbukaan tersebut tidak seharusnya menyebabkan hubungan dengan Umno diketepikan, sebaliknya usaha menyatukan kedua-dua parti perlu terus menjadi keutamaan.
Menurutnya, meskipun usaha membina semula kerjasama PAS-Umno bukan sesuatu yang mudah, kedua-dua pihak perlu memanfaatkan peluang yang ada bagi merealisasikan penyatuan berkenaan.
“PAS hendak berpakat dengan sesiapa sekali pun, jangan tinggalkan Umno. Perpaduan antara PAS dan Umno ini perlu dipertahankan dengan keutamaan rundingan adalah bersama Umno berbanding parti-parti lain,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.
Hashim turut menegaskan kerjasama kedua-dua parti yang mewakili kelompok besar masyarakat Melayu dan Islam itu perlu berpaksikan kepentingan agama serta bangsa, bukannya semata-mata percaturan politik.
Beliau memberi peringatan bahawa kerjasama yang hanya berlandaskan kepentingan politik sukar bertahan lama, sambil menjadikan Muafakat Nasional sebagai contoh apabila gabungan itu akhirnya berakhir selepas PAS menyertai Bersatu membentuk Perikatan Nasional (PN).
Dalam perkembangan berkaitan, Hashim berkata PAS tidak berdepan masalah untuk menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya gabungan PN tidak dibenarkan menggunakan lambangnya.
Katanya, logo bulan PAS sudah dikenali masyarakat dan penggunaan lambang parti itu bukan penghalang untuk menghadapi pilihan raya berkenaan.
Beliau turut berpandangan BN boleh menggunakan logonya sendiri sekiranya keadaan memerlukan kedua-dua parti bertanding dengan lambang masing-masing.
Masa depan PN kini berdepan ketidaktentuan selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menggantung operasi serta aktiviti gabungan itu untuk tempoh yang belum ditetapkan.
Mahkamah Tinggi sebelum ini membenarkan PN meneruskan cabaran undang-undang terhadap keputusan penggantungan berkenaan, namun menolak permohonan untuk menangguhkan pelaksanaannya buat sementara waktu.
Mahkamah dijadual mendengar permohonan PN bagi penangguhan itu pada 22 Oktober ini.










