Perselisihan Rumah Tangga Punca Wanita Maut Dipercayai Ditikam Suami

SEREMBAN: Perselisihan rumah tangga dipercayai menjadi punca seorang wanita yang juga pegawai kastam maut akibat kecederaan disyaki ditikam suaminya di Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 9.30 malam selepas suspek berusia lingkungan 30-an menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor.

Susulan laporan itu, sepasukan anggota polis digerakkan ke lokasi kejadian sebelum menemukan mangsa, wanita tempatan berusia lingkungan 30-an, dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Nilai.

Menurut Alzafny, pemeriksaan awal oleh pasukan forensik polis mendapati mangsa mengalami kecederaan yang dipercayai akibat tikaman.

Polis turut merampas sebilah pisau dan beberapa barang kes lain bagi membantu siasatan lanjut.

Beliau berkata, mangsa merupakan pegawai kastam yang bertukar ke skim perkhidmatan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Suspek kini direman sehingga 22 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam pada itu, Alzafny menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan yang boleh menjejaskan siasatan polis.

BBerkaitan

Latest articles