SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J. Arul Kumar mempersoalkan penangguhan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang sepatutnya bermula pada Jumaat, selepas mendakwa tiada pemakluman rasmi diterima berhubung perkara itu.
Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan berkata, berdasarkan notis bertarikh 18 Ogos lalu, persidangan penggal pertama bagi tahun ini dijadual berlangsung selama lima hari bermula 16 Oktober hingga 22 Oktober.
Menurutnya, semua ADUN juga telah diminta mengemukakan soalan lisan dan bertulis bagi persidangan berkenaan, namun mereka mendapati tiada persidangan berlangsung apabila hadir ke DUN pada Jumaat.
“Pagi tadi saya semak juga di portal rasmi e-Dewan, masih tertera persidangan kita adalah pada 16 Oktober 2026 sehingga 22 Oktober 2026.
“Kita tidak dimaklumkan secara bertulis berhubung penangguhan ini, malah sehingga pagi ini, maklumat dalam sistem e-Dewan juga masih menunjukkan persidangan dijadualkan berlangsung,” katanya pada sidang media ADUN-ADUN Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan pada Jumaat.
Arul Kumar berkata, pemakluman mengenai penangguhan persidangan sepatutnya dibuat secara rasmi melalui surat atau portal berkaitan dan bukannya bergantung kepada kenyataan dalam sidang media semata-mata.
Beliau turut menjelaskan bahawa persidangan yang dijadualkan pada Oktober itu merupakan persidangan biasa dan bukannya persidangan bagi pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan.
Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima melalui sidang media sebelum ini, persidangan berkaitan belanjawan dijadualkan berlangsung pada penghujung November.
“Persidangan hari ini bukan belanjawan. Persidangan hari ini adalah persidangan biasa yang perlu diadakan.
“Kita juga keliru sama ada persidangan ini akan berlangsung atau digantikan dengan persidangan belanjawan pada hujung November,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penangguhan berkenaan menimbulkan persoalan memandangkan tempoh lebih dua bulan telah berlalu sejak pilihan raya, sedangkan persidangan DUN merupakan platform penting bagi wakil rakyat membangkitkan isu rakyat dan membahaskan dasar kerajaan negeri.
Menurutnya, persidangan DUN memberi ruang kepada ADUN untuk mendapatkan maklumat secara sahih dan menyeluruh, selain mengemukakan persoalan berkaitan pelbagai masalah yang dihadapi masyarakat.
Beliau berkata, ketiadaan persidangan menyebabkan ADUN pembangkang kehilangan ruang penting untuk menyuarakan isu rakyat, terutama apabila mereka tidak dijemput menghadiri mesyuarat di peringkat daerah mahupun negeri.
“Kita mempunyai banyak isu untuk dibangkitkan. Sebab itu, hampir semua kita menghantar soalan bagi persidangan ini.
“Persidangan ini memberikan ruang kepada ADUN untuk mendapatkan maklumat secara sahih dan lengkap, termasuk melalui soalan lisan, soalan bertulis dan perbahasan,” katanya.
Mengulas lanjut, Arul Kumar berpandangan, isu pentadbiran kerajaan negeri perlu diselesaikan segera bagi memastikan urusan rakyat tidak terjejas.
Beliau berkata, kerajaan negeri mempunyai majoriti 25 kerusi DUN berbanding 11 kerusi yang dimiliki pihaknya, justeru isu berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai pertikaian politik semata-mata.
Sebaliknya, beliau berkata, penyelesaian perlu dicari bagi memastikan pentadbiran negeri dapat berjalan dengan teratur dan berkesan.
Menurutnya, ketiadaan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang berfungsi boleh memberi kesan terhadap kelancaran pentadbiran, khususnya apabila pelbagai portfolio perlu diuruskan oleh Menteri Besar.
“Biasanya perlu ada satu barisan Exco yang boleh mentadbir negeri ini. Tidak mungkin 10 jawatankuasa atau 10 portfolio semuanya diletakkan di bawah tanggungjawab Menteri Besar sahaja.
“Sudah tentu keberkesanan pentadbiran yang sampai kepada rakyat akan terjejas,” katanya.
Beliau turut mendakwa banyak permohonan dan isu yang dibangkitkan masyarakat masih belum diproses dengan sewajarnya, selain terdapat keputusan tertentu yang memerlukan persetujuan Perdana Menteri.
Bagaimanapun, katanya, perkara paling penting ketika ini adalah mencari jalan penyelesaian supaya pentadbiran kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan baik demi kepentingan rakyat.
Arul Kumar menegaskan, pihaknya mahu persidangan DUN dipanggil semula dengan kadar segera dan sebarang perubahan jadual dimaklumkan secara rasmi kepada semua ADUN.
Beliau berkata, pihaknya bersedia memberikan kerjasama bagi memastikan persidangan berlangsung dengan lancar tanpa sebarang kekecohan.
Katanya, sekiranya persidangan diteruskan mengikut jadual asal, ADUN mempunyai peluang untuk mengemukakan pelbagai persoalan kepada pihak kerajaan, termasuk berkaitan pentadbiran dan kebajikan rakyat.
“Kita bukan mahu membuat apa-apa kekecohan. Yang penting, rakyat dan kerajaan negeri ini dapat ditadbir dengan baik supaya rakyat menikmati pentadbiran yang stabil.
“Sebab itu kita minta isu ini diselesaikan segera. Panggil persidangan DUN dan jalankan seperti biasa,” katanya.










