‘Apa Yang Nak Dirahsiakan?’ Lim Lip Eng Desak Syarat Tahanan Rumah Najib Didedahkan

KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara Malaysia digesa mendedahkan syarat tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak bagi mengelakkan timbulnya pelbagai spekulasi, susulan arahan supaya bekas Perdana Menteri itu tidak mendedahkan butiran perintah berkenaan.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menyifatkan tindakan merahsiakan syarat tahanan rumah itu sebagai tidak munasabah kerana ia bukan rahsia negara, sebaliknya melibatkan kepentingan awam.

Beliau berkata, rakyat berhak mengetahui bentuk sekatan dan pemantauan yang dikenakan terhadap Najib sepanjang menjalani baki hukuman di rumah.

Menurutnya, tindakan merahsiakan perkara itu hanya akan mengundang lebih banyak persoalan, termasuk mengenai kebebasan yang diberikan kepada bekas Presiden UMNO berkenaan.

“Siapa dibenarkan melawat? Bolehkah beliau menggunakan telefon, internet dan media sosial? Bagaimana pula dengan televisyen, hiburan dan kebebasan menerima tetamu? Adakah beliau diwajibkan memakai gelang elektronik atau dipantau CCTV sepanjang masa?” katanya dalam satu kenyataan.

Lim menegaskan, Najib masih berstatus banduan dan bukannya individu yang telah dibebaskan daripada hukuman penjara.

Justeru, katanya, pelaksanaan tahanan rumah itu perlu dijelaskan kepada umum memandangkan ia turut berpotensi menjadi rujukan bagi pelaksanaan kaedah hukuman sama pada masa hadapan.

Beliau turut menggesa Jabatan Penjara mendedahkan sekurang-kurangnya syarat asas tahanan rumah berkenaan, sambil mengakui maklumat tertentu yang boleh menjejaskan keselamatan wajar dikecualikan daripada pendedahan.

“Tahanan rumah bukan percutian di banglo mewah. Jika semuanya mengikut peraturan, mengapa takut rakyat tahu?” soalnya.

Terdahulu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dilaporkan berkata, anak guamnya telah menerima perintah berserta syarat tahanan rumah, namun diarahkan supaya tidak mendedahkan butiran berkenaan.

Najib sebelum ini dipenjarakan pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadapnya atas kesalahan berkaitan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau pada asalnya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, sebelum Lembaga Pengampunan pada 2024 mengurangkan hukuman penjara kepada enam tahun serta denda kepada RM50 juta.

Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat tambahan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan pematuhan syarat ditetapkan.

Susulan itu, UMNO turut menubuhkan tabung bagi membantu mengumpulkan dana untuk membayar denda berkenaan, dengan pemimpin, ahli dan penyokong parti digalakkan menyumbang secara sukarela.

BBerkaitan

Latest articles