KUALA LUMPUR: Pemandu kereta elektrik BYD yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Jalan Kuching, Sabtu lalu, berdepan tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Raeven Goh Wey Haur, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar.
Tertuduh didakwa memandu kereta BYD Seal secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Asiah Ahmad Syahir, 5, di Jalan Kuching menghala ke Segambut, pada jam 3.44 petang, 10 Oktober lalu.
Pertuduhan pertama dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.
Dia turut berdepan pertuduhan memandu secara berbahaya mengikut Seksyen 42(1) serta gagal berhenti selepas kemalangan mengikut Seksyen 52(1) akta sama.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 jika sabit kesalahan. Sementara itu, pertuduhan ketiga memperuntukkan denda sekurang-kurangnya RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry memohon jaminan RM50,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan, selain meminta lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.
Peguam bela, Kailash Sharma, bagaimanapun memohon jumlah jaminan minimum dengan mengambil kira kerjasama keluarga tertuduh dengan pihak polis sejak kejadian itu.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM36,000 dengan seorang penjamin. Lesen memandunya digantung sehingga kes selesai, manakala pasportnya diarahkan diserahkan kepada mahkamah.
Kes akan disebut semula untuk serahan dokumen pada 19 November ini.
Ahli keluarga mangsa turut hadir di mahkamah bersama peguam pemerhati, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor.










