Akmal Beri Bayangan Tinggalkan Merlimau, Sasar Serkam Atau Sungai Rambai?

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh, membayangkan kemungkinan tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini, sebaliknya membuka ruang untuk bertanding di kawasan lain.

Bayangan itu dicetuskan menerusi hantaran di Facebook apabila beliau mengajukan persoalan mengenai destinasi politiknya selepas ini, termasuk kemungkinan berpindah ke DUN Serkam atau Sungai Rambai.

Dalam hantaran sama, Akmal turut merakamkan penghargaan kepada pengundi Merlimau yang memberinya mandat pada PRN 2021, sekali gus membolehkan beliau memulakan khidmat sebagai wakil rakyat bagi penggal pertama.

“Selepas ini ke mana? Kalau ke Serkam atau Sungai Rambai boleh ke? Atau ada cadangan lain?,” katanya.

Serkam dan Sungai Rambai merupakan antara kerusi yang secara tradisinya dikuasai UMNO.

Bagaimanapun, keputusan PRN 2021 menunjukkan persaingan di kedua-dua kawasan itu mempunyai latar berbeza.

Di Serkam, Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi berkenaan dengan majoriti tipis hanya 79 undi dalam pertandingan empat penjuru, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), manakala calon Pakatan Harapan (PH) dan calon Bebas ketinggalan jauh.

Sebaliknya, Akmal memperoleh kemenangan lebih selesa di Merlimau pada PRN yang sama apabila meraih majoriti 3,248 undi, sekali gus membantu BN mempertahankan kerusi berkenaan.

Selepas memenangi kerusi itu, beliau dilantik sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka dengan portfolio kesihatan sebelum diberikan tanggungjawab dalam pembangunan luar bandar, pertanian dan keterjaminan makanan pada 2023.

Akmal kemudian dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO pada tahun sama selepas menewaskan tiga pencabar bagi jawatan berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles