Jalaluddin Nafi Dakwaan Mahu Kemuka Usul Undi Tidak Percaya erhadap MB

SEREMBAN: Ketua UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menafikan dakwaan beliau akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ismail Lasim pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Jalaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang menegaskan, tiada sebarang perbincangan atau perancangan dibuat berhubung usul berkenaan, sekali gus menolak dakwaan bahawa UMNO negeri sedang mempertimbangkan langkah untuk menjatuhkan Ismail.

“ Sama sekali tidak betul. Tiada sebarang aturan mahupun perbincangan untuk buat usul undi tidak percaya terhadap menteri besar,” katanya memetik Free Malaysia Today (FMT).

Beliau turut menegaskan tidak mempunyai sebarang sebab untuk mengemukakan usul berkenaan, sambil menyifatkan pentadbiran kerajaan negeri ketika ini berjalan lancar tanpa masalah kepimpinan.

“Setakat ini, kita tidak ada masalah kepimpinan di Negeri Sembilan dengan menteri besar. Biar (Ismail) buat kerja beliau sebagai menteri besar, dan saya sebagai ketua parti akan buat kerja sebagai ketua parti.

“Kita banyak lagi perancangan dan agenda untuk kepentingan negeri serta masyarakat yang perlu kita selesaikan,” katanya.

Kenyataan itu dibuat susulan laporan terdahulu yang memetik sumber mendakwa UMNO Negeri Sembilan sedang mempertimbangkan usul undi tidak percaya terhadap Ismail pada sidang DUN akan datang.

Sumber yang enggan dinamakan itu mendakwa usul berkenaan akan dikemukakan oleh Jalaluddin sendiri, namun pelaksanaannya bergantung pada keputusan kepimpinan pusat UMNO.

Laporan sama turut menyebut kemungkinan barisan baharu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) diumumkan sekiranya langkah berkenaan diteruskan.

Bagaimanapun, Speaker DUN Negeri Sembilan, Datuk Awaludin Said sebelum ini memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang notis rasmi berhubung usul undi tidak percaya terhadap Ismail.

Beliau turut menegaskan tidak akan membenarkan usul tergempar dikemukakan bagi tujuan menjatuhkan Menteri Besar.

Sidang DUN Negeri Sembilan dijadual berlangsung pada 26 November ini selepas ditangguhkan daripada 16 Oktober bagi menyelaraskan persidangan itu dengan pembentangan Belanjawan Negeri 2027 pada hari berikutnya.

Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 2 Ogos lalu susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 18 kerusi, Pakatan Harapan (PH) memperoleh 11 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) meraih tujuh kerusi.

Pentadbiran beliau bagaimanapun berdepan perhatian susulan krisis perlembagaan negeri yang tercetus berhubung usaha melucutkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

BBerkaitan

Latest articles