KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan tindakan kerajaan mengumumkan bantuan kewangan yang akan disalurkan pada minggu depan ketika pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, ucapan belanjawan sepatutnya memberi tumpuan kepada perancangan perbelanjaan kerajaan bagi tahun berikutnya, bukannya pengumuman pelaksanaan bantuan dalam tempoh terdekat.
“Ucapan bajet bukannya ucapan politik. Ia ucapan pembentangan apa yang akan dibelanjakan pada tahun hadapan, sebab itu perlu dibentang, dibahas dan diundi.
“Jika mahu bentang apa yang nak dibuat minggu depan, walaupun menggunakan hasil tahun ini, ia sebenarnya ucapan politik,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Kenyataan itu merujuk kepada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan MADANI 2027 mengenai pemberian bantuan khas kewangan secara sekali bayar (one-off) sebanyak RM1,000 kepada pemandu teksi dan bas sekolah.
Anwar berkata, bantuan berkenaan akan memanfaatkan kira-kira 38,000 pemandu teksi termasuk kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah di seluruh negara.
Anwar turut memaklumkan bantuan itu akan disalurkan pada minggu depan.










