KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkukuh bantuan kewangan dan keperluan asas rakyat menerusi peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM16 bilion bagi 2027, berbanding RM15 bilion tahun ini.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata semua penerima STR akan turut menerima bantuan SARA sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun, yang dijangka memanfaatkan sehingga sembilan juta penerima.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Dalam usaha memperluas manfaat bantuan kepada lebih ramai rakyat, kerajaan turut menyediakan SARA MADANI sebanyak RM100 sebanyak dua kali kepada rakyat berusia 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR.
Bantuan itu akan disalurkan sebelum Aidilfitri dan menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-70, dengan sasaran memberi manfaat kepada sehingga 13 juta rakyat Malaysia, termasuk golongan berpendapatan sederhana (M40).
Selain memperluas bantuan kewangan, kerajaan turut membenarkan penggunaan SARA untuk membeli barangan basah dan segar di 216 pasar tani atau tamu kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara.
Anwar berkata, setakat ini terdapat 15,000 premis rakan niaga SARA, termasuk 6,800 kedai runcit kecil dan koperasi.
Kerajaan menyasarkan jumlah kedai runcit kecil yang menyertai program itu meningkat kepada 10,000 sebelum akhir tahun ini bagi meluaskan akses rakyat kepada barangan keperluan menerusi bantuan berkenaan.










