KUALA LUMPUR: Sebanyak 94.5 peratus rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura menyatakan gaji lebih tinggi dan potensi pendapatan lebih baik sebagai faktor utama mendorong mereka bekerja di negara berkenaan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, perkara itu berdasarkan kajian Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) pada 2024 bertajuk Push and Pull Factors Influencing Malaysians to Work in Singapore and Proposes Relevant Policy Recommendations.
Menurutnya, berdasarkan Laporan Survei Gaji dan Upah 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penengah gaji dan upah bulanan warganegara Malaysia meningkat 5.3 peratus kepada RM2,940 pada 2025 berbanding RM2,793 pada 2024.
“Penengah gaji bulanan bagi pekerja berkemahiran tinggi ialah RM5,057, kumpulan pengurus RM6,186 dan kumpulan profesional RM6,124.
“Bagaimanapun, kajian TalentCorp mendapati sebahagian besar profesional Malaysia yang bekerja di Singapura menerima pendapatan antara SGD4,001 hingga SGD7,000 sebulan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau menjawab soalan Chow Yu Hui (PH-Raub) yang meminta kerajaan menyatakan perbezaan median gaji profesional Malaysia dengan Singapura mengikut bidang kritikal seperti perubatan, kejuruteraan, teknologi dan penyelidikan serta strategi kerajaan meningkatkan gaji tempatan bagi mengurangkan penghijrahan bakat berkemahiran tinggi.
Ramanan berkata, profesional berkemahiran khusus dan berpengalaman, khususnya dalam bidang teknologi maklumat, menerima pendapatan melebihi SGD10,000 sebulan di Singapura.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan memacu usaha meningkatkan gaji tempatan melalui Dasar Gaji Progresif (DGP) yang menggalakkan majikan menawarkan kenaikan gaji selaras dengan peningkatan kemahiran dan produktiviti pekerja, dengan sokongan insentif kerajaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui TalentCorp turut mengambil pendekatan menyeluruh bagi menangani isu penghijrahan bakat dengan memperkukuh daya tarikan ekosistem pekerjaan tempatan.
Katanya, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah program Knowledge Worker di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Program Kepulangan Pakar (REP).
“Inisiatif MyHeart turut menghubungkan diaspora Malaysia dengan peluang di tanah air serta memanfaatkan kepakaran, jaringan dan sumbangan diaspora untuk pembangunan negara.
“MyHeart Networking Session juga diadakan bagi diaspora berkepakaran untuk mengakses peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan pengalaman, kepakaran dan tahap kemahiran mereka,” katanya.










