KUALA LUMPUR: Kerajaan berjaya mendapatkan semula dana pemulihan aset berkaitan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berjumlah RM31.3 bilion setakat ini, di tengah-tengah komitmen berterusan pentadbiran MADANI memperkukuh tatakelola serta integriti kewangan negara.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesemua dana yang berjaya dipulihkan itu disalurkan dan diuruskan menerusi Akaun Amanah di bawah seliaan Kementerian Kewangan (MOF).
“Dana tersebut dikreditkan ke dalam akaun berkenaan dan dikhususkan untuk melunaskan obligasi hutang serta komitmen berkaitan 1MDB sahaja bagi memastikan penerimaan serta penggunaannya dipantau secara jelas dan telus,” ujar beliau menerusi jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof.
Mengulas lanjut, Anwar mendedahkan bahawa setakat 31 Ogos 2026, Kerajaan telah melunaskan bayaran sebanyak RM42.5 bilion bagi menampung komitmen 1MDB, merangkumi bayaran prinsipal, faedah, kos guaman, serta operasi.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa sekiranya tiada pemulihan dana tambahan pada masa hadapan, Kerajaan masih perlu menanggung baki obligasi hutang yang besar iaitu sebanyak RM20.1 bilion.
Sehubungan itu, Kerajaan akan terus mengambil tindakan perundangan serta memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi memaksimumkan pemulihan baki aset yang diseleweng demi melindungi kepentingan rakyat.
Dalam jawapan sama, Perdana Menteri menegaskan bahawa Kerajaan MADANI komited memastikan kelemahan tadbir urus ditangani habis-habisan agar skandal kewangan berskala besar seperti 1MDB, SRC International Sdn Bhd, Lembaga Tabung Haji, dan FELDA tidak berulang.
Antara pembaharuan perundangan dan dasar utama yang telah dilaksanakan termasuklah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 [Akta 850] iaitu memperkukuh pengurusan fiskal berhemat, termasuk menetapkan sasaran pengurangan defisit dan had pemberian jaminan Kerajaan bagi mengawal risiko liabiliti luar jangka.
“Pindaan Akta Audit 1957 [Akta 62] iaitu memperluas skop pengauditan Ketua Audit Negara menerusi pendekatan follow the public money untuk memantau aliran dana awam yang disalurkan melalui pelbagai entiti dengan lebih menyeluruh.
“Akta Perolehan Kerajaan iaitu memperkenalkan tindakan punitif yang tegas terhadap pihak yang melanggar tatacara perolehan, termasuk individu yang tidak lagi memegang jawatan dalam Kerajaan.
“Tadbir Urus Badan Berkanun Persekutuan (BBP) iaitu memperkemas kuasa Menteri Kewangan serta memperketat pematuhan pekeliling perbendaharaan bagi mengelakkan pertindihan fungsi dan menutup jurang ketirisan,” jelasnya.
Selain fokus utama pada isu 1MDB, Anwar berkata bagi SRC International Sdn Bhd, kerajaan telah menanggung bayaran kira-kira RM5.35 bilion bagi memenuhi obligasi syarikat kepada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] yang berjumlah RM5.66 bilion, dengan penyelesaian terakhir dicapai pada 28 Mac 2022.
Bagi FELDA pula, kerajaan meluluskan jaminan bernilai RM9.9 bilion di bawah Akta 96 bagi membiayai projek serta Pelan Pemulihan FELDA.
“Setakat 30 September 2026, baki pinjaman yang masih dijamin kerajaan adalah sebanyak RM5.88 bilion selepas pembayaran prinsipal RM3.04 bilion dibuat.
“Bagi Lembaga Tabung Haji (TH), berdasarkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), kerugian pelaburan sebelum 2018 dianggarkan hampir RM13 bilion (termasuk bail-out RM10.2 bilion oleh Kerajaan pada 2018), manakala rosot nilai sebanyak RM2.6 bilion ditanggung sendiri oleh TH antara 2018 hingga 2025.
“Langkah pemulihan kini giat diteruskan bagi melindungi dana pendeposit,” ujarnya.










