KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan pelaksanaan secara berperingkat menerusi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 bagi merapatkan jurang kualiti pembelajaran digital antara murid di kawasan bandar dan luar bandar.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, isu jurang pembelajaran digital merupakan antara cabaran yang dikenal pasti KPM dan perlu ditangani secara menyeluruh serta bersasar menerusi RPM 2026-2035 dan Dasar Pendidikan Digital (DPD).
Menurutnya, usaha berkenaan akan dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu jangka pendek pada 2026 hingga 2027, jangka sederhana bagi 2028 hingga 2030 dan jangka panjang dari 2031 hingga 2035.
“Dalam fasa jangka pendek, KPM memberikan tumpuan kepada pembinaan asas ekosistem pembelajaran digital yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI).
“Langkah ini merangkumi pembangunan DELIMa 3.0, pelaksanaan rintis AI-Powered Classroom di 27 sekolah terpilih di kawasan bandar dan luar bandar serta latihan awal kepada pendidik,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Rompin Datuk Abdul Khalib Abdullah di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau berkata, sehingga 7 Oktober 2026, seramai 3,662 guru telah mengikuti latihan awal berkaitan pelaksanaan berkenaan.
Katanya, pemilihan sekolah untuk peluasan AI-Powered Classroom mengambil kira tahap keperluan, kesediaan guru, kemudahan digital dan capaian internet bagi memastikan model pelaksanaan bersesuaian dengan konteks sekolah berbeza.
“KPM turut melaksanakan pengukuran Tahap Kompetensi Digital Murid menggunakan instrumen Skor Kompetensi Digital atau Digital Competency Score (DCS).
“Melalui pengukuran ini, murid yang mencapai tahap kompetensi digital akan dikategorikan sebagai Intermediate, Advance atau Innovator, manakala murid yang belum mencapai tahap tersebut dikelaskan sebagai Novice dan Beginner,” katanya.
Fadhlina berkata, bagi fasa jangka sederhana, pelaksanaan akan diperluas secara berperingkat berdasarkan dapatan projek rintis dan tahap kesediaan institusi pendidikan di bawah Teras Strategik 4, iaitu Memantapkan Prasarana Fizikal dan Digital di semua institusi KPM.
Menurutnya, keutamaan akan diberikan kepada institusi yang mempunyai jurang capaian lebih tinggi, khususnya sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Pelaksanaan tersebut merangkumi peluasan peranti, internet stabil, liputan Wi-Fi, pembelajaran adaptif dan peningkatan kompetensi digital guru.
“Dashboard cerapan pembelajaran turut digunakan bagi membantu guru mengenal pasti tahap penguasaan murid dan melaksanakan intervensi lebih awal,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata latihan dan bimbingan berterusan akan diperkukuh bagi memastikan guru bukan sahaja mampu menggunakan teknologi, malah dapat mengintegrasikan AI secara berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Bagi fasa jangka panjang pula, katanya, KPM akan melaksanakan secara menyeluruh dan optimum pembelajaran diperibadikan berasaskan AI, DELIMa, Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) serta rangkaian LAN dan WAN.
“Usaha ini disokong oleh pemantauan prestasi rangkaian secara masa nyata.
“DELIMa 3.0 pula akan diperkukuh sebagai ekosistem pembelajaran pintar yang menyokong pembelajaran adaptif, pemantauan perkembangan murid dan intervensi yang lebih bersasar,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan terangkum turut diberi keutamaan bagi memenuhi keperluan murid di kawasan luar bandar, murid berkeperluan pendidikan khas serta kumpulan yang berhadapan dengan kekangan akses.
Dalam memastikan kesaksamaan akses kepada ekosistem pendidikan digital berkualiti, KPM juga melaksanakan Projek Sewaan Perkakasan ICT Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Makmal Komputer secara berfasa.
“Fasa asas, iaitu pembekalan peranti ICT bermula pada 2021 hingga 2026, manakala fasa peluasan bermula pada 2024 dengan memberi keutamaan kepada sekolah di luar bandar,” katanya.
Tambah beliau, sehingga Julai 2026, KPM telah menyediakan perkhidmatan internet di 10,258 sekolah di seluruh negara mengikut kesesuaian geografi telekomunikasi setempat, khususnya bagi kawasan luar bandar.
“KPM turut memantapkan Rangkaian Kawasan Setempat (LAN) dan Rangkaian Kawasan Luas (WAN/Selular), termasuk peningkatan jalur lebar, peluasan liputan Wi-Fi dan kestabilan rangkaian di sekolah.
“KPM yakin RPM 2026-2035 dapat merapatkan jurang kualiti pembelajaran digital dan memastikan murid memperoleh pengalaman pembelajaran yang bermakna tanpa mengira lokasi dan latar belakang,” katanya.










