KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin meminta kerajaan mengenai hala tuju rejim percukaian negara, khususnya sama ada kerajaan akan mengekalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) atau memperkenalkan sistem baharu yang menggabungkan elemen SST dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Ahli Parlimen Larut itu membangkitkan perkara itu ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong pada persidangan Dewan Rakyat.
Beliau berkata, penjelasan berhubung dasar percukaian penting khususnya kepada golongan perniagaan bagi membolehkan mereka membuat perancangan dengan lebih jelas.
“Sebagai ahli perniagaan, ramai yang mahu tahu kaedah sebenar supaya perancangan dapat dibuat kerana saya bimbang perancangan masa ini tidak jelas,” katanya.
Hamzah turut mempersoalkan hala tuju pelaksanaan e-Invois apabila nilai ambang pengecualian sebelum ini beberapa kali berubah, termasuk daripada RM150,000, RM300,000, RM1 juta sehingga disebut RM3 juta.
Menjawab perkara itu, Liew berkata kerajaan akan mengekalkan sistem SST dengan menyerap elemen tertentu daripada GST yang dianggap baik bagi mengelakkan kesan cukai berganda atau cascading effect.
Menurut beliau, pendekatan itu selaras dengan penjelasan Perdana Menteri ketika sesi libat urus bersama pelbagai sektor pada 18 Ogos.
“Kerajaan akan menyerap elemen yang dianggap bagus dalam sistem GST ke dalam sistem sedia ada iaitu SST.
“Elemen GST tersebut adalah bagi memastikan tidak ada kesan berganda (cascading effect) dalam sistem percukaian,” katanya.
Liew berkata, kerajaan memilih untuk meneruskan SST kerana sistem berkenaan lebih mudah difahami serta telah mempunyai sejarah lebih 50 tahun di negara ini.
Beliau berkata, GST pula memerlukan kira-kira 480,000 syarikat bertindak sebagai ejen pemungut cukai, berbanding sekitar 80,000 syarikat bagi SST.
“Kerajaan mahu mewujudkan keseimbangan supaya pengguna tidak terganggu dan perniagaan tidak mengalami kesan cascading,” katanya.
Dalam pada itu, Liew turut menjelaskan perkembangan pelaksanaan e-Invois yang mula dilaksanakan pada 1 Ogos 2024.
Katanya, pelaksanaan itu membabitkan 5,578 pembayar cukai daripada syarikat dengan jualan tahunan melebihi RM100 juta, diikuti 14,567 pembayar cukai daripada syarikat dengan jualan antara RM25 juta hingga RM100 juta.
Bagi syarikat dengan jualan tahunan antara RM5 juta hingga RM25 juta pula, sebanyak 51,710 pembayar cukai telah melaksanakan e-Invois.
Sementara itu, penyesuaian turut dilakukan bagi syarikat dalam julat jualan RM3 juta hingga RM5 juta yang membabitkan 25,503 pembayar cukai.
Sebelum itu, Liew ketika menjawab soalan asal Hamzah mengenai jumlah keseluruhan kutipan cukai negara memaklumkan kutipan hasil cukai sehingga Jun 2024 meningkat sembilan peratus kepada RM112.8 bilion berbanding RM103.5 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Kerajaan menyasarkan kutipan hasil cukai sebanyak RM232.1 bilion bagi keseluruhan 2024, dengan peningkatan itu antara lain disumbangkan kutipan cukai pendapatan syarikat serta cukai jualan dan perkhidmatan.










