Unjuran GRS Menang Hingga 15 Kerusi Parlimen Terlalu Optimis – ILHAM Centre

KOTA KINABALU: Sasaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memenangi 14 hingga 15 kerusi Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dilihat terlalu optimis pada ketika ini, menurut ILHAM Centre.

Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Hisommudin Bakar, berkata kenyataan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali itu boleh dilihat sebagai usaha membina momentum politik dan menyuntik keyakinan dalam kalangan jentera parti.

Bagaimanapun, katanya, sasaran politik tidak seharusnya disamakan dengan unjuran yang mengambil kira keseluruhan dinamika persaingan serta perubahan sentimen pengundi.

Menurut beliau, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak boleh dijadikan ukuran langsung terhadap corak sokongan pada PRU akan datang kerana kedua-dua pilihan raya mempunyai konteks dan pertaruhan politik yang berbeza.

“Dalam PRN, pengundi menentukan kepimpinan serta pentadbiran Sabah, manakala pilihan raya Parlimen turut membabitkan pembentukan kerajaan Persekutuan, kedudukan Sabah dalam percaturan nasional serta keupayaan wakil memperjuangkan kepentingan negeri.

“Justeru, sokongan kepada sesebuah gabungan di peringkat negeri tidak semestinya diterjemahkan kepada pilihan yang sama di peringkat Parlimen,” katanya dalam dapatan analisis ILHAM Centre.

Hisommudin berkata, GRS juga perlu berdepan penilaian pengundi terhadap rekod pentadbirannya, termasuk prestasi kerajaan negeri, penyampaian perkhidmatan, keperluan asas rakyat dan peluang ekonomi.

Katanya, kedudukan sebagai kerajaan mungkin memberikan kelebihan dari segi gerak kerja serta keterlihatan politik, namun pada masa sama ia meletakkan GRS di bawah tuntutan pertanggungjawaban yang lebih besar.

Dalam perkembangan sama, ILHAM Centre berpandangan pertambahan kelompok pengundi muda turut menjadikan persaingan lebih kompleks.

Hisommudin berkata, golongan itu tidak boleh dianggap mempunyai kesetiaan politik yang seragam kerana pilihan mereka boleh berubah berdasarkan isu semasa, pengalaman hidup, daya tarikan calon dan maklumat yang diterima melalui pelbagai saluran.

“Justeru, kekuatan jentera dan pengaruh tokoh tempatan perlu dinilai bersama keupayaan parti memahami aspirasi serta keresahan generasi muda.

“Kegagalan membaca perubahan ini boleh menyebabkan unjuran yang berasaskan pola lama tersasar,” katanya.

Beliau turut mengingatkan GRS supaya tidak memandang ringan keupayaan Warisan memperluas sokongan, khususnya sekiranya parti itu berjaya membentuk kerjasama politik dengan parti tempatan lain seperti KDM dan STAR.

Menurutnya, kerjasama berkenaan berpotensi mengubah pola pertandingan, mengurangkan perpecahan undi dan meningkatkan daya saing di kerusi tertentu.

Namun, katanya, keberkesanannya bergantung kepada kesepakatan pembahagian kerusi, penerimaan pengundi terhadap calon serta keupayaan parti-parti terbabit memindahkan sokongan hingga ke peringkat akar umbi.

Pada masa sama, katanya, faktor personaliti, jaringan tempatan dan pertimbangan material masih penting dalam politik Sabah, selain sentimen “Sabah untuk Sabah” yang terus menjadi antara medan persaingan utama.

Hisommudin berkata, sentimen berkenaan bukan milik eksklusif GRS kerana Warisan dan parti tempatan lain juga boleh mengangkat tuntutan sama.

“Persoalan yang akan dinilai pengundi ialah pihak mana yang lebih diyakini mampu menterjemahkan perjuangan tersebut kepada hasil yang nyata.

“Identiti sebagai parti tempatan perlu disokong oleh rekod, ketegasan pendirian dan keupayaan mempertahankan kepentingan Sabah,” katanya.

Beliau berkata, dalam konteks itu, kenyataan Armizan mengenai sasaran 14 hingga 15 kerusi juga boleh dibaca sebagai sebahagian daripada strategi membina persepsi kekuatan GRS, meyakinkan penyokong dan memberi tekanan kepada pihak lawan.

Namun, katanya, pembentukan persepsi tidak boleh dianggap sebagai gambaran pasti mengenai keputusan pilihan raya.

“Unjuran yang lebih kukuh memerlukan penilaian kerusi demi kerusi, termasuk kekuatan calon, tahap kepuasan terhadap kerajaan, konfigurasi pertandingan, kadar keluar mengundi dan perubahan sokongan dalam kelompok pengundi utama.

“Dinamika politik Sabah masih sangat cair dan terbuka kepada perubahan. Sasaran 14 hingga 15 kerusi boleh menjadi pembakar semangat jentera, tetapi tidak wajar dianggap sebagai hasil yang sudah terjamin,” katanya.

Hisommudin berkata, sebarang perubahan sentimen, kekuatan lawan serta penilaian terhadap prestasi kerajaan perlu diambil kira secara objektif sebelum sebarang unjuran dibuat.

Katanya, ukuran sebenar kekuatan GRS pada akhirnya bergantung kepada sejauh mana keyakinan yang ditunjukkan kepimpinan gabungan itu selari dengan penerimaan pengundi di lapangan.

BBerkaitan

Latest articles