Skandal MYEG: Bukan Hanya RM314 Juta, Data Rakyat Turut Dipersoal

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Pemuda MCA Kebangsaan, Neow Choo Seong, mendesak Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, meletakkan jawatan susulan isu tunggakan RM314 juta membabitkan kutipan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) oleh MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd.

Menurutnya, jumlah tunggakan bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September 2026 itu bukan sahaja menimbulkan persoalan mengenai pengurusan hasil kerajaan, malah mencetuskan kebimbangan lebih besar berhubung keselamatan data peribadi pengguna JPJ.

Neow mendakwa walaupun perkhidmatan kedua-dua syarikat berkenaan telah digantung, mereka masih menyimpan dan menguasai pangkalan data peribadi jutaan pengguna JPJ.

Katanya, data berkenaan didakwa merangkumi nama, nombor MyKad, alamat, nombor telefon, e-mel, maklumat pemilikan kenderaan, nombor pendaftaran, lesen, rekod saman serta butiran transaksi dan resit pembayaran.

“Apabila sebuah syarikat dilihat sanggup menyekat cek RM231 juta milik kerajaan atas arahan sendiri masih dibenarkan memegang data sensitif ini, persoalan besar timbul: apakah jaminan data ini selamat?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Neow berkata, sekiranya data tersebut jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab, ia berpotensi disalahgunakan untuk penipuan, kecurian identiti serta kegiatan jenayah lain.

Beliau turut membangkitkan risiko lebih serius sekiranya maklumat berkaitan pergerakan kenderaan dan alamat kediaman rakyat Malaysia terdedah kepada pihak luar.

Menurutnya, gabungan maklumat seperti nama, nombor MyKad dan alamat juga boleh dieksploitasi penjenayah untuk membuka akaun, mendaftarkan syarikat palsu atau menjalankan kegiatan jenayah menggunakan identiti mangsa.

Neow pada masa sama mempersoalkan tindakan Kementerian Pengangkutan (MOT) yang menurutnya lebih memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan semula kutipan hasil tertunggak berbanding menjelaskan status keselamatan data pengguna.

“Anthony Loke hanya menyentuh mengenai 35 notis peringatan dan empat sesi libat urus sebagai usaha mendapatkan semula kutipan hasil berkenaan, tetapi satu patah pun tidak bercerita tentang nasib data peribadi 30 juta rakyat yang masih berada dalam server syarikat swasta tersebut,” katanya.

Beliau mendakwa kegagalan memastikan data dikembalikan dan dipadam selepas kontrak digantung juga menimbulkan persoalan mengenai pematuhan terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).

Sehubungan itu, Neow menggesa satu Suruhanjaya Siasatan Bebas ditubuhkan segera bagi menyiasat keseluruhan isu berkenaan, termasuk pengurusan kutipan kerajaan dan keselamatan data pengguna JPJ.

“Menteri Pengangkutan bukan sahaja gagal menjaga wang rakyat, malah gagal menjaga data peribadi rakyat.

“Demi menjaga integriti Kerajaan Madani dan kepercayaan rakyat, saya mendesak YB Anthony Loke meletakkan jawatan tanpa berlengah lagi,” katanya.

Neow turut menyifatkan isu berkenaan sebagai alasan yang mencukupi untuk Loke bertanggungjawab terhadap dakwaan kegagalan pengurusan di bawah kementeriannya dan tidak perlu menunggu perkembangan kes lain untuk mengambil tindakan.

BBerkaitan

Latest articles