AGC Teliti CCTV, Keterangan Saksi Sebelum Tentukan Tindakan Terhadap Shuhaily

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan meneliti secara menyeluruh keterangan saksi, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta bukti lain sebelum memutuskan tindakan lanjut berhubung dakwaan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menyerang dua anggota polis.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata AGC perlu meneliti keseluruhan hasil siasatan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau berkata demikian menerusi pesanan teks ketika ditanya mengenai kertas siasatan kes berkenaan yang dijangka diserahkan polis kepada AGC hari ini.

“AGC akan meneliti setiap aspek siasatan, sebelum sebarang tindakan lanjut boleh diambil dalam kes ini,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, memaklumkan seramai 25 saksi sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan, membabitkan anggota polis, kakitangan AKPS, polis bantuan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), pengendali bagasi, pegawai perubatan dan orang awam.

Siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Kes itu mencetuskan perhatian selepas rakaman CCTV yang didakwa memaparkan Shuhaily berkonfrontasi dengan seorang individu di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tersebar luas di media sosial.

AKPS sebelum ini mengesahkan ketulenan rakaman berkenaan dan menjelaskan kejadian berlaku ketika Shuhaily melakukan pemeriksaan persiapan di KLIA menjelang Grand Prix Bahrain.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata polis turut menyiasat bagaimana rakaman CCTV terbabit boleh tersebar kepada umum dalam tempoh singkat selepas kejadian.

Menurutnya, siasatan turut meneliti kemungkinan berlaku kebocoran daripada sistem kira-kira 5,000 kamera CCTV di KLIA yang berada di bawah kawalan MAHB, termasuk kemungkinan rakaman sekunder.

“Elemen kebocoran, punca sebaran video itu juga dalam senarai semak, selain rakaman percakapan dan bukti lain. Itu dalam tindakan pihak polis,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) di Dewan Rakyat.

Saifuddin berkata, Peguam Negara juga boleh mengarahkan siasatan tambahan sekiranya perlu bagi memastikan kertas siasatan yang dikemukakan polis mempunyai asas kukuh sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan.

BBerkaitan

Latest articles