KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan peruntukan pembangunan kepada kawasan Parlimen yang diwakili Ahli Parlimen pembangkang tidak dihentikan, sebaliknya terus disalurkan berdasarkan keperluan dan keutamaan kawasan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud berkata, pendekatan Kerajaan adalah memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat terus diberi keutamaan di semua kawasan Parlimen tanpa mengira kedudukan politik atau parti yang diwakili Ahli Parlimen.
“Kerajaan berpandangan bahawa penyaluran peruntukan pembangunan kawasan hendaklah mengambil kira keperluan dan keutamaan pembangunan rakyat di setiap kawasan, di samping kedudukan kewangan Kerajaan.
“Peruntukan kepada kawasan Parlimen yang diwakili Ahli Parlimen pembangkang tidak dihentikan, sebaliknya terus disalurkan berdasarkan keperluan dan keutamaan kawasan melalui mekanisme Kerajaan yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang meminta Perdana Menteri menyatakan sama ada Kerajaan bersedia menggubal undang-undang yang mewajibkan peruntukan pembangunan kawasan Parlimen disalurkan secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti.
Abdul Latiff turut meminta penjelasan sama ada Kerajaan bersedia membayar semula peruntukan yang tidak disalurkan kepada pembangkang sepanjang tiga tahun lalu.
Mustapha berkata, peruntukan pembangunan yang disediakan bagi sesuatu tahun kewangan bertujuan digunakan dan dibelanjakan untuk program atau projek pembangunan dalam tahun berkenaan, tertakluk kepada kelulusan serta tatacara kewangan ditetapkan.
“Peruntukan pembangunan kawasan tidak merupakan suatu bayaran yang menjadi hak peribadi Ahli Parlimen, sebaliknya merupakan peruntukan awam yang disediakan bagi melaksanakan program dan projek untuk manfaat rakyat di kawasan berkenaan.
“Sehubungan itu, isu pembayaran semula atau bayaran tunggakan kepada Ahli Parlimen bagi peruntukan yang tidak disalurkan sepanjang tiga tahun lalu adalah tidak berbangkit,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan akan terus memastikan keperluan pembangunan dan kesejahteraan rakyat di setiap kawasan Parlimen diberi perhatian melalui mekanisme yang sedang berkuat kuasa.
Katanya, penyaluran peruntukan itu akan terus mengambil kira keutamaan pembangunan serta kemampuan kewangan Kerajaan.










