KUALA LUMPUR: Kerajaan belum menetapkan angka sasaran khusus bagi peningkatan nisbah kerusi Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat, termasuk tuntutan satu pertiga, susulan persetujuan prinsip Jemaah Menteri untuk menambah penyertaan Ahli Parlimen dari kedua-dua negeri berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu masih tertakluk kepada penelitian lanjut dengan mengambil kira semangat dan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, perkara berkenaan turut mengambil kira perkara yang telah dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak.
“Perdana Menteri pada 11 September 2026 telah memaklumkan bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju secara prinsip terhadap penambahan penyertaan Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira peningkatan nisbah perwakilan kedua-dua negeri tersebut berbanding kedudukan semasa.
“Perkara ini telah dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memulakan proses rundingan, manakala pelaksanaannya tetap tertakluk kepada proses Perlembagaan yang berkenaan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) yang meminta Perdana Menteri menyatakan susulan persetujuan kerajaan meningkatkan nisbah kerusi Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat, termasuk sasaran nisbah yang ditetapkan serta garis masa pindaan Perlembagaan dan pelaksanaannya.
Azalina berkata, berdasarkan input yang diterima daripada SPR, urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian pilihan raya sedia ada hanya boleh dilaksanakan selepas tamat tempoh lapan tahun atau terdapat pindaan undang-undang berkaitan komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.
Menurutnya, penetapan komposisi bilangan kerusi di Parlimen adalah di bawah bidang kuasa Parlimen melalui pindaan Perkara 46, Perlembagaan Persekutuan berhubung komposisi Dewan Rakyat.
“Pindaan tersebut perlu mendapat persetujuan dua pertiga daripada jumlah keseluruhan Ahli Dewan Rakyat dan sebarang cadangan berkaitan pertambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat adalah tertakluk kepada pertimbangan Kerajaan selaras dengan peruntukan Perkara 46, Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata, SPR diberikan tempoh dua tahun untuk menyiapkan kajian persempadanan bermula dari tarikh tersiarnya notis seperti disebut dalam Seksyen 4, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan sehingga laporan akhir kajian dikemukakan kepada Perdana Menteri.
Katanya, tempoh berkenaan adalah seperti diperuntukkan dalam Fasal 10, Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan.
“Berhubung cadangan peningkatan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak, perkara tersebut adalah tertakluk kepada penelitian lanjut dengan mengambil kira semangat dan tuntutan di bawah MA63 serta perkara-perkara yang telah dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak,” katanya.
Dalam jawapan itu, Azalina tidak menetapkan garis masa khusus bagi pindaan Perlembagaan atau pelaksanaan penambahan kerusi berkenaan, sebaliknya menegaskan prosesnya perlu melalui mekanisme Perlembagaan yang ditetapkan.
Perkara berkaitan penambahan kerusi Sabah dan Sarawak sebelum ini turut dinyatakan kerajaan sebagai perkara yang masih dalam perbincangan dan tertakluk kepada proses persempadanan serta pindaan Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan.










