Malaysia Cadang Dana Jerebu Mampan Tangani Jerebu Rentas Sempadan

KUALA LUMPUR: Malaysia mengemukakan cadangan mewujudkan Dana Jerebu Mampan di peringkat ASEAN bagi menyediakan sumber pembiayaan yang lebih berterusan untuk menyokong usaha pencegahan kebakaran serta pengurusan jerebu rentas sempadan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, cadangan itu antara dua inisiatif baharu yang dibentangkan Malaysia dalam usaha memperkukuh tindakan serantau menangani masalah jerebu yang berulang setiap tahun.

Menurutnya, satu lagi cadangan ialah Diplomasi Sains yang bertujuan memperluaskan penggunaan data, teknologi dan bukti saintifik dalam pembangunan dasar serta proses membuat keputusan ASEAN berkaitan pencegahan, pemantauan dan pengurusan jerebu.

“Kedua-dua cadangan tersebut sekarang sedang diteliti oleh Sekretariat ASEAN dan Malaysia akan meneruskan lagi perbincangan ini semasa mesyuarat ke-21 Committee Conference of the Parties to the AATHP yang dijadualkan berlangsung di Vietnam pada bulan Disember tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tanjong Manis, Datuk Ir. Yusuf Abd Wahab pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, Selasa.

Yusuf sebelum itu meminta penjelasan mengenai inisiatif baharu Malaysia di peringkat ASEAN selain usaha diplomatik dan kerjasama dua hala dengan Indonesia bagi menangani masalah jerebu rentas sempadan secara lebih berkesan dan berterusan.

Arthur berkata, Malaysia akan menjadi pengerusi dan tuan rumah Mesyuarat ke-28 Sub-regional Ministerial Steering Committee (MSC) pada tahun hadapan.

Menurutnya, peranan itu akan dimanfaatkan bagi memperkukuh semangat kebersamaan dan kebertanggungjawaban bersama dalam kalangan negara anggota ASEAN.

“Pendekatan kita adalah jelas bahawa isu jerebu rentas sempadan perlu ditangani melalui tindakan yang kolektif dan kerjasama serantau yang lebih erat, bukan sekadar menuding jari atau menyalahkan mana-mana pihak.

“Apa yang lebih penting ialah setiap negara anggota melaksanakan tanggungjawab masing-masing dan bersama-sama memperkukuh langkah pencegahan, kesiapsiagaan serta tindakan awal,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu termasuk mempertingkat perkongsian data dan maklumat, memperkukuh pelaksanaan undang-undang domestik serta meningkatkan kerjasama penguatkuasaan antara negara anggota ASEAN.

Katanya, langkah tersebut penting bagi memastikan komitmen di bawah Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) diterjemahkan kepada tindakan yang nyata, konsisten dan berkesan.

Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia turut memperkukuh langkah domestik bagi menangani pembakaran terbuka dan jerebu.

Menurutnya, Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan telah diaktifkan sejak 15 Februari lalu.

Bagi tempoh 3 Ogos hingga 29 September 2026, Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerima 1,447 aduan pembakaran terbuka dan melaksanakan 2,132 tindakan susulan termasuk 41 notis arahan, 27 kompaun serta tiga tindakan mahkamah.

Beliau berkata, sebanyak 14 kejadian kebakaran berskala besar di Sarawak dan Johor turut berjaya dipadamkan sepenuhnya melalui tindakan agensi berkaitan.

Bagi menangani jerebu di Sarawak susulan kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan, Indonesia, beliau berkata Malaysia turut meningkatkan pemantauan kualiti udara dan melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) pada 3 hingga 7 September lalu.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 55 siri OPA telah dilaksanakan di seluruh negara sejak bulan Februari tahun ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia turut mengambil pendekatan diplomatik dengan Indonesia termasuk mengemukakan tawaran bantuan rasmi bagi operasi pemadaman kebakaran.

Menurutnya, tawaran pada 9 September lalu itu merangkumi operasi pemadaman udara melalui water bombing, sokongan pesawat amfibia dan OPA.

Kerajaan Indonesia kemudiannya bersetuju menerima tawaran bantuan Malaysia pada 18 September lalu ketika pertemuan Timbalan Perdana Menteri dengan Presiden Indonesia.

“Penyelarasan penghantaran bantuan kini sedang dilaksanakan oleh kedua-dua negara melalui Kementerian Luar Negeri,” katanya.

Beliau berkata Malaysia kekal komited mendukung visi ASEAN Bebas Jerebu menjelang 2030 menerusi Second ASEAN Haze-Free Roadmap 2023–2030, selain terus memperkukuh kerjasama serantau bagi mengurangkan risiko berulangnya episod jerebu rentas sempadan.

BBerkaitan

Latest articles