Albert Tei Buat Laporan Polis Dakwa Podcast Sentuh Isu Kuasa Pengampunan Agong

PUTRAJAYA: Ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei, membuat laporan polis terhadap Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berhubung dakwaan kandungan sebuah podcast yang didakwa menyentuh isu kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Presint 7, Putrajaya pada Selasa.

Menerusi laporan polis berkenaan, Tei mendakwa beliau telah menonton sebuah video podcast berdurasi kira-kira 50 minit 28 saat yang disiarkan menerusi Facebook milik Teo.

Menurutnya, podcast berkenaan turut disertai Tony Pua yang disifatkannya sebagai bekas Ahli Parlimen Damansara.

Tei mendakwa kedua-dua individu terbabit sengaja menggunakan bahasa Cina dalam podcast berkenaan sehingga menyebabkan masyarakat Melayu tidak mengetahui kandungan yang dibincangkan.

Beliau mendakwa kandungan podcast itu antara lain menyentuh isu pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, termasuk kenyataan berkaitan kuasa dan proses pengampunan.

Antara perkara yang didakwa dibangkitkan ialah pandangan bahawa Hannah Yeoh, selaku Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, berkeras menentang pembebasan Najib atau pemberian hukuman tahanan di rumah.

“Pengadu mendakwa mereka turut mempersoalkan sama ada keputusan berkaitan pengampunan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong serta mencadangkan kerajaan boleh mendapatkan pandangan Lembaga Pengampunan.

“Selain itu, mereka didakwa membangkitkan persoalan sama ada keputusan berkenaan berada di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong atau baginda terikat untuk menerima nasihat atau pendirian kerajaan,” menurut laporan polis itu.

Tei turut mendakwa podcast tersebut menyentuh isu kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong melalui Lembaga Pengampunan serta menyatakan hukuman tidak boleh diubah sewenang-wenangnya dan perlu mengikut undang-undang.

Dalam laporan sama, beliau mendakwa pendirian mereka dalam DAP menentang pembebasan Najib serta meminta supaya bantahan terhadap keputusan pengampunan berkenaan disuarakan dengan lebih lantang.

Tei turut mendakwa terdapat cadangan supaya tekanan diberikan kepada Perdana Menteri bagi mendapatkan penjelasan berhubung keputusan membebaskan Najib.

Sehubungan itu, Tei mendakwa kedua-dua individu terbabit secara terbuka mencabar, melawan, menghasut dan mempertikaikan keputusan pengampunan yang menurutnya merupakan kuasa prerogatif serta budi bicara mutlak yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Saya menggesa pihak polis menjalankan siasatan secara telus, cekap dan bebas tanpa tekanan daripada mana-mana pihak yang berkuasa dan berpengaruh,” katanya seperti direkodkan dalam laporan polis tersebut.

Tei turut mendakwa kandungan podcast berkenaan mempunyai unsur yang boleh disiasat di bawah undang-undang berkaitan.

BBerkaitan

Latest articles