KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil langkah memperkukuh pengurusan pinjaman dan meningkatkan keberkesanan kutipan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi memastikan kelestarian dana pembiayaan pendidikan tinggi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, langkah itu antara usaha yang dilaksanakan bagi memastikan model pembiayaan PTPTN yang berasaskan dana berpusing (revolving funds) dapat terus mampan dalam jangka panjang.
Menurutnya, PTPTN tidak lagi menerima peruntukan khusus daripada kerajaan sebagai sumber dana bagi membiayai pinjaman pendidikan tinggi yang dikeluarkan.
“Sebaliknya, jumlah kutipan bayaran balik pinjaman daripada peminjam yang telah menamatkan pengajian merupakan sumber utama dana PTPTN.
“Dalam hal ini, sebarang kekurangan kepada keperluan tahunan akan ditampung melalui pengeluaran sukuk atau pinjaman daripada institusi kewangan tempatan dengan jaminan kerajaan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang meminta kerajaan menyatakan langkah kerajaan untuk memastikan pengurangan pinjaman tidak berbayar (NPL) yang diberikan oleh PTPTN.
Tambahnya, antara langkah yang telah dan akan diambil termasuk memperkukuh pengurusan pinjaman dengan menambah baik terma dan syarat pinjaman supaya lebih bersasar kepada golongan yang memerlukan berdasarkan kemampuan PTPTN.
“Kerajaan juga meningkatkan keberkesanan dan kecekapan kutipan bayaran balik pinjaman melalui pelaksanaan penguatkuasaan serta kerjasama strategik bersama agensi kerajaan dan korporat,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan turut mengambil kira keadaan peminjam yang benar-benar menghadapi kesukaran untuk melunaskan bayaran balik pinjaman.
Menurutnya, PTPTN sentiasa terbuka untuk peminjam tampil berunding sebelum bayaran balik pinjaman distrukturkan semula mengikut kemampuan masing-masing.
“Peminjam juga boleh membuat penangguhan bayaran balik pinjaman mengikut kelonggaran yang dibenarkan oleh PTPTN,” katanya.










