KDN: Pelarian Myanmar Melalui Saringan Ketat Sebelum Dihantar Pulang

KUALA LUMPUR: Semua pelarian warga Myanmar yang dihantar pulang menerusi fasa pertama Program Penghantaran Pulang di Lumut, Perak pada 29 September lalu, telah melalui proses saringan dan pengesahan identiti sebelum dibawa pulang secara sukarela, selamat dan bermaruah.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, proses berkenaan merangkumi pengesahan kewarganegaraan, dokumentasi, pemeriksaan kesihatan serta semakan identiti.

Menurutnya, senarai nama individu terbabit terlebih dahulu disahkan kerajaan Myanmar menerusi Nota Diplomatik bertarikh 13 Ogos lalu sebelum urusan keselamatan, logistik dan penerimaan di negara asal diselaraskan.

“Bagi fasa pertama, proses akhir dilaksanakan di Stadium Daerah Manjung sebelum mereka dibawa ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut untuk penghantaran pulang.

“Kerajaan memastikan proses berkenaan dilaksanakan secara selamat, teratur, bertanggungjawab dan bermaruah berdasarkan prosedur yang dipersetujui kedua-dua negara,” katanya dalam dokumen Soalan Lazim (FAQ) program berkenaan.

KDN berkata, program itu merupakan sebahagian usaha kerajaan menangani migrasi tidak teratur dan pendatang tanpa izin, selain mengurangkan tempoh penahanan serta tekanan terhadap kapasiti dan kos operasi Depot Tahanan Imigresen (DTI).

Setakat 31 Ogos lalu, seramai 11,804 warga Myanmar direkodkan berada di DTI dan Baitul Mahabbah di seluruh negara.

Jumlah tahanan yang tinggi serta tempoh penahanan panjang memberi tekanan kepada kapasiti depot dan meningkatkan kos yang perlu ditanggung kerajaan.

Dalam fasa pertama pada 29 September lalu, seramai 1,476 warga Myanmar dihantar pulang menggunakan tiga kapal Tentera Laut Myanmar, termasuk sebuah kapal hospital.

Mereka terdiri daripada tahanan dari 14 DTI di seluruh negara, dengan jumlah tertinggi masing-masing dari Depot Belantik, Kedah dan Depot Tanah Merah, Kelantan.

KDN berkata, kerajaan Myanmar komited menerima kepulangan 5,000 warganya sepanjang 2026, dengan pelaksanaan program diselaraskan KDN dan dikendalikan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), bersama kementerian serta agensi keselamatan berkaitan.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, sebelum ini memaklumkan seramai 3,524 tahanan Myanmar dipersetujui untuk dihantar pulang secara sukarela menerusi fasa kedua program berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles