AUKU: Wan Saiful Kemuka Empat Tuntutan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mempersoalkan tempoh diambil kerajaan untuk membawa agenda pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), yang menurutnya sudah lama diperjuangkan aktivis.

Beliau berkata, perkara itu dibangkitkan selepas terdapat soalan mengenai status pemansuhan AUKU dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, namun beliau tidak sempat mengemukakan soalan tambahan berhubung isu berkenaan selepas masa sesi berkenaan tamat.

“Saya sudah bersedia untuk bertanya soalan tambahan berkaitan pemansuhan AUKU, tetapi malangnya masa untuk soal jawab tamat sebelum sempat sampai ke giliran soalan itu.

“Soalan saya di nombor 13 pun tidak dapat ditanya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Menurut Wan Saiful, pemansuhan AUKU merupakan perkara penting memandangkan beliau dan ramai aktivis telah lama menuntut supaya akta berkenaan dimansuhkan.

Beliau turut mempersoalkan mengapa kerajaan mengambil masa sehingga tahun keempat pentadbiran Pakatan Harapan (PH) untuk membawa agenda tersebut.

“Adakah pemansuhan AUKU diangkat sekarang kerana pilihan raya sudah dekat? Kita tidak mahu janji-janji kosong PH lagi,” katanya.

Pada 20 Ogos lalu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan penubuhan jawatankuasa bebas bagi meneliti dan mengkaji penggubalan akta baharu yang akan menggantikan AUKU.

KPT dalam kenyataannya memaklumkan kerangka perundangan baharu pendidikan tinggi itu akan dibangunkan menerusi pendekatan One Higher Education Act (OHEA), susulan keputusan Jemaah Menteri pada 19 Ogos 2026.

Sehubungan itu, Wan Saiful menyambut baik penubuhan jawatankuasa bebas berkenaan, namun menggesa kerajaan mengambil beberapa langkah bagi memastikan akta yang bakal menggantikan AUKU benar-benar memenuhi aspirasi rakyat.

Antaranya, beliau meminta kerajaan mengumumkan nama ahli jawatankuasa bebas serta memastikan keahliannya terdiri daripada individu daripada pelbagai latar belakang dan rentas parti.

Beliau turut menggesa kerajaan memberi jaminan bahawa laporan jawatankuasa berkenaan akan disiarkan kepada umum.

Selain itu, Wan Saiful mencadangkan supaya sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ditubuhkan bagi meneliti dan menambah baik draf Rang Undang-Undang (RUU) yang disediakan.

“Kerajaan juga perlu memberi jaminan bahawa kebebasan akademik, kebebasan mahasiswa dan autonomi universiti akan menjadi tonggak dalam akta yang baharu,” katanya.

Sebelum ini, KPT memaklumkan proses pembangunan kerangka perundangan baharu akan dilaksanakan secara terbuka, tersusun dan inklusif, termasuk penubuhan jawatankuasa bebas, libat urus dengan semua pemegang taruh, pemuktamadan kerangka dasar dan perundangan serta penyediaan mekanisme peralihan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut memberi jaminan bahawa AUKU akan dimansuhkan sepenuhnya dan tidak digantikan dengan undang-undang baharu yang mengongkong kegiatan mahasiswa.

BBerkaitan

Latest articles