PUTRAJAYA: Dakwaan tunggakan RM314 juta oleh Zetrix AI Bhd kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak 2023 adalah tidak tepat, tegas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Sebaliknya, beliau menjelaskan jumlah berkenaan hanya merujuk kepada kutipan yang belum diserahkan syarikat itu bagi tempoh bermula 19 Mei hingga 30 September lalu.
Kutipan tersebut melibatkan hasil daripada urusan pembaharuan cukai jalan, lesen memandu serta pembayaran saman trafik yang dibuat melalui saluran berkaitan.
Loke berkata, isu berkenaan bukan dibiarkan tanpa tindakan apabila Kementerian Pengangkutan (MOT) dan JPJ telah berulang kali berusaha mendapatkan semula wang terbabit.
Menurutnya, empat sesi libat urus telah diadakan sejak Mei dengan pihak berkepentingan termasuk Kementerian Kewangan, manakala 35 notis peringatan turut dihantar kepada syarikat berkenaan.
“Pada 21 Ogos, syarikat memberikan cek berjumlah RM231 juta yang bertarikh 30 September.
“Namun, apabila cek itu cuba dikreditkan pada 30 September, bank tidak memprosesnya kerana mendapat arahan daripada pihak syarikat,” katanya pada sidang media di Kementerian Pengangkutan, hari ini.
Berikutan kegagalan tersebut, JPJ mengambil langkah lebih tegas dengan menggantung MyEG dan Zetrix daripada terus bertindak sebagai ejen pemungut agensi itu berkuat kuasa hari ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli sebelum ini dilaporkan berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira tahap pematuhan syarikat terhadap terma serta syarat perjanjian, termasuk kewajipan yang masih belum diselesaikan.
Zetrix AI sebelum ini dikenali sebagai MyEG sebelum penjenamaan semula dibuat pada Julai 2025.
Mengulas dakwaan mengenai kemungkinan kaitan MyEG dan Zetrix dengan UMNO, Loke memilih untuk tidak mengulas lanjut.
Katanya, perkara itu bukan pertimbangan Kementerian Pengangkutan dalam mengambil tindakan terhadap syarikat terbabit.
“Itu kamu tanya dia. Apa yang pasti, tiada kaitan dengan parti saya (DAP).
“Dia berkaitan dengan parti mana bukan ‘consideration’ saya,” katanya.










