PUCHONG: Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, secara rasmi mengemukakan permohonan menyertai Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) hari ini, hanya tiga hari selepas melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat itu.
Perkembangan berkenaan disahkan pemimpin BERSAMA, Datuk Seri Rafizi Ramli, dalam sidang media di ibu pejabat parti berkenaan di sini.
Menurut Rafizi, BERSAMA mengalu-alukan penyertaan Lee yang sebelum ini merupakan antara pemimpin PKR, termasuk pernah memegang jawatan bendahari agung dan pengarah komunikasi parti itu.
“Beliau menghantar permohonan untuk menyertai BERSAMA pada hari ini dan permohonan itu akan diproses mengikut tatacara keahlian BERSAMA,” katanya.
Lee turut hadir pada sidang media berkenaan.
Penyertaan itu berlaku selepas beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya tanpa syarat pada 2 Oktober lalu, susulan keputusan PKR menggantung keahliannya selama tiga tahun.
Lee sebelum ini memaklumkan surat peletakan jawatannya telah diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, selepas beliau menerima notis rasmi penggantungan daripada PKR pada 30 September.
Beliau yang memenangi kerusi Petaling Jaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum ini memberi bayangan sudah membuat keputusan mengenai hala tuju politiknya, namun enggan mendedahkannya ketika mengumumkan peletakan jawatan.
Rafizi, bekas Timbalan Presiden PKR, kini menerajui BERSAMA bersama beberapa bekas pemimpin PKR lain termasuk Datuk Seri Nik Nazmi Nik Ahmad dan bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.










