Undang Yang Empat Tolak Perutusan Setiausaha DKU, Dakwa Bercanggah Rekod Dan UUTKNS

SEREMBAN: Undang Yang Empat bersama Tunku Besar Tampin menolak Perutusan yang dikeluarkan atas nama Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 4 Oktober lalu, dengan mendakwa dokumen itu mengandungi percanggahan, tidak disokong rekod DKU sendiri serta memasukkan syarat yang tidak terdapat dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).

Pendirian itu terkandung dalam ulasan bertarikh 5 Oktober yang dikeluarkan atas sabda dan perkenan Undang Luak Sungai Ujong, Dato’ Klana Petra Dato’ Haji Mubarak bin Thahak; Undang Luak Jelebu, Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Maarof bin Haji Mat Rashad; Undang Luak Johol, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato’ Muhammed bin Haji Abdullah; Undang Luak Rembau, Dato’ Sedia Raja Dato’ Haji Abdul Rahim bin Haji Yasin; serta Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman bin Syed Idrus Al-Qadri.

Ulasan setebal 11 muka surat itu menyenaraikan tiga kelemahan utama yang didakwa terdapat dalam Perutusan berkenaan, antaranya kenyataan yang bercanggah sesama sendiri, kegagalan menafikan bahawa siasatan telah dibuat pada 5 Mac 2026 serta penafian terhadap kenyataan Undang Yang Empat bertarikh 2 Oktober yang didakwa tidak disokong bukti atau Undang-Undang Tubuh.

Dokumen itu turut mempersoalkan pihak yang mengeluarkan Perutusan berkenaan kerana menurut ulasan tersebut, ia tidak mempunyai nama, tandatangan atau nombor rujukan.

Ulasan itu juga mendakwa Perutusan berkenaan tidak menyatakan tarikh sidang, siapa yang hadir, sama ada kuorum mencukupi atau minit mesyuaratnya.

Berhubung proses penurunan takhta, Undang Yang Empat berhujah bahawa Perkara 10(1) UUTKNS menghendaki “full and complete enquiry by the Undangs”, iaitu siasatan penuh dan lengkap oleh para Undang.

Menurut ulasan itu, tiga pertanyaan dikemukakan kepada Tuanku Muhriz pada 5 Mac secara bersemuka dan baginda diberikan peluang menjawab sendiri.

Dokumen tersebut turut merujuk Sabda bertarikh 19 April yang menurutnya ditandatangani dan dimeterai keempat-empat Undang serta mencatat “sidang dan penyiasatan lengkap dan menyeluruh” telah dilakukan pada 5 Mac.

Ulasan itu seterusnya berhujah bahawa kuasa yang melantik adalah kuasa yang menurunkan, dengan Undang Yang Empat merupakan pihak yang memilih Yang di-Pertuan Besar menurut Perjanjian Negeri Sembilan 1898 sebagaimana dinyatakan dalam Perkara 11 UUTKNS.

Dalam masa sama, ulasan itu mempertikaikan kesahan sidang DKU pada 31 Julai yang dikatakan menjadi asas kepada “nasihat” mengenai kedudukan Undang Jelebu, Undang Rembau dan Dato’ Shahbandar.

Menurut ulasan berkenaan, sidang itu dipertikaikan antaranya atas alasan ia dipengerusikan Tuanku Muhriz selepas tarikh 19 April serta didakwa tidak mempunyai kuorum mencukupi.

Isu Proklamasi

Mengenai tarikh penurunan takhta, Undang Yang Empat berhujah bahawa Perkara 10(2) menggunakan ungkapan “shall thereupon cease”, yang ditafsirkan mereka sebagai Yang di-Pertuan Besar terhenti memegang jawatan sebaik sahaja diseru turun takhta.

Atas tafsiran tersebut, mereka berpandangan proklamasi selepas itu hanya mengumumkan penurunan berkenaan dan bukan menciptakan penurunan itu.

Ulasan tersebut menyatakan dokumen proklamasi dihantar kepada Menteri Besar pada 20 April sebelum ditandatangani pada 3 Ogos.

Ia turut merujuk keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 15 September yang menurut dokumen itu menerima proklamasi berkenaan sebagai “sempurna menurut Perkara 10(2)” dengan tandatangan pada 3 Ogos serta mengarahkan ia dilaksanakan serta-merta.

Ulasan itu menyifatkan perbezaan antara 19 April dan 3 Ogos sebagai perbezaan tafsiran mengenai bila penurunan takhta menjadi sempurna, sambil berhujah kedua-dua bacaan akhirnya membawa kepada kesimpulan bahawa Tuanku Muhriz tidak lagi boleh menjalankan fungsi dan kuasa pemerintahan selepas 15 September.

Tolak Tuduhan ‘Derhaka’

Ulasan itu turut menyentuh tuduhan “derhaka” serta gesaan supaya polis mendakwa, dengan mendakwa ia dibuat tanpa memetik sebarang seksyen undang-undang.

Dalam rumusannya, Undang Yang Empat mendakwa Perutusan 4 Oktober mahu orang ramai mempercayai empat Pembesar Memerintah berkenaan bukan pemegang jawatan yang sah, sedangkan mereka berhujah rekod DKU sendiri mengiktiraf keempat-empatnya sehingga April 2026.

Dokumen itu kemudian menyenaraikan tiga perkara yang menurutnya gagal dipenuhi Perutusan berkenaan meskipun menyeru institusi adat dilaksanakan “menurut teks UUTKNS 1959, rekod yang sah dan keadilan kepada semua pihak”.

Ia mendakwa teks Perkara 10, 28 dan 29 tidak dijawab; minit sidang 17 April dan 31 Julai tidak ditunjukkan; serta Undang yang diadukan tidak pernah didengar.

Ulasan itu seterusnya menegaskan pendirian bahawa empat penyandang asal Sungai Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau merupakan Undang Yang Empat yang sah.

Ia turut merujuk Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan dan berhujah bahawa pertikaian mengenai takhta hendaklah diputuskan pihak berkuasa yang ditetapkan UUTKNS, yang menurut ulasan tersebut ialah Undang Yang Empat.

Dokumen itu ditutup dengan perbilangan:

“Raja bertitah sekali, Undang bersabda sekali.”

BBerkaitan

Latest articles