​KUALA LUMPUR: Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan (NAB 2045) kini sedang melalui proses pertimbangan kerajaan sebelum kertas putih persediaan menuju negara tua dibentangkan di Dewan Rakyat.
​Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kertas putih berkenaan dirancang untuk dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat kali ini selepas mendapat persetujuan daripada Jemaah Menteri.
​”Malaysia telah mencapai status negara menua pada tahun 2021 apabila penduduk berumur 65 tahun dan ke atas mencapai tujuh peratus daripada jumlah populasi negara.
​”Berdasarkan unjuran semasa, Malaysia akan mencapai status negara tua pada 2048 apabila peratusan tersebut meningkat kepada 14 peratus dan negara sangat tua sekitar tahun 2060 apabila mencapai 20 peratus,” katanya pada sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
​Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa [PH-Sekijang] mengenai tarikh pembentangan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan serta penetapan indikator khusus mengukur sumbangan Silver Economy kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
​Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa peralihan Malaysia daripada negara menua ke negara tua mengambil masa kira-kira 27 tahun, iaitu dari tahun 2021 hingga 2048.
​Jelasnya, tempoh berkenaan adalah lebih singkat berbanding negara maju lain seperti Perancis yang mengambil masa 115 tahun, Australia (73 tahun) dan Amerika Syarikat (69 tahun).
​”Keadaan ini memberikan ruang masa yang lebih terhad untuk kita memperkukuhkan kesiapsiagaan negara. Perubahan demografi ini turut mewujudkan beberapa cabaran utama seperti pertumbuhan tenaga kerja yang semakin perlahan, ketidakcukupan simpanan persaraan serta peningkatan keperluan kesihatan dan penjagaan,” katanya.
​Mengenai indikator sumbangan Silver Economy, beliau memaklumkan bahawa kerajaan mengiktiraf potensi sektor berkenaan sebagai sumber pertumbuhan baharu menerusi produk dan perkhidmatan bagi memenuhi keperluan masyarakat menua.
​Walau bagaimanapun, pengukuran sumbangannya kepada KDNK memerlukan takrifan, skop dan kaedah statistik yang konsisten kerana aktiviti tersebut merentas pelbagai sektor.
​”Pembangunan indikator khusus akan diteliti bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Penelitian ini penting sebelum angka asas dan sasaran ditetapkan supaya sumbangan Silver Economy dapat diukur dengan tepat serta menilai perkembangannya dari semasa ke semasa,” ujarnya.
​Menjawab soalan tambahan Dr. Zaliha mengenai trend penghijrahan golongan muda di kawasan seperti Sekijang serta kesediaan kerajaan melaksanakan kawasan rintis rejuvenasi daerah menua, beliau menjelaskan bahawa faktor penghijrahan golongan produktif turut mempengaruhi dinamik demografi sesebuah kawasan.
​”Antara potensi Silver Economy yang perlu kita terokai termasuklah pengiraan dari segi pelancongan dan rekreasi warga emas supaya penuaan itu kekal produktif.
​”Memang ada daerah atau bandar di Malaysia yang menunjukkan perkembangan lebih laju ke arah populasi menua. Perkara ini adalah antara yang akan kita pertimbangkan dan mungkin akan ada projek rintis yang dilakukan di beberapa lokaliti terkesan,” katanya.










