KUALA LUMPUR: Perkhidmatan tren Laluan Putrajaya mengalami kelewatan berikutan kehilangan bekalan kuasa akibat kejadian kecurian kabel berhampiran Stesen Taman Equine, pada Ahad.
Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan kejadian itu dikesan pada jam 5.24 pagi selepas sebuah tren tidak dapat bergerak di Stesen Taman Equine.
Menurutnya, pasukan teknikal telah digerakkan bagi menjalankan pemeriksaan dan kerja pembaikan untuk memulihkan bekalan kuasa serta perkhidmatan tren.
“Susulan gangguan operasi ini, pihak operasi telah mengaktifkan perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara bagi membantu pengguna meneruskan perjalanan,” menurut kenyataan itu pada Ahad.
Rapid KL memaklumkan tren dari Stesen Kwasa Damansara akan berpatah balik di Stesen UPM dengan kekerapan sekitar 10 minit, manakala tren dari Stesen UPM pula akan berpatah balik di Stesen 16 Sierra dengan kekerapan sama.
Tren perantara dari Stesen 16 Sierra ke Stesen Putrajaya Sentral turut disediakan dengan kekerapan sekitar tujuh minit.
Selain itu, bas perantara ulang-alik percuma disediakan di antara Stesen Serdang Jaya, UPM, Taman Equine, Putra Permai, 16 Sierra, Cyberjaya Utara, Cyberjaya City Centre dan Putrajaya Sentral.
Kekerapan bas berkenaan adalah antara 15 hingga 20 minit bergantung kepada keadaan trafik semasa.
Rapid KL berkata, pengguna dijangka berdepan tempoh menunggu lebih lama di platform, khususnya di Stesen UPM, Stesen 16 Sierra dan Stesen Putrajaya Sentral.
Dalam pada itu, penumpang yang menggunakan Laluan Putrajaya untuk meneruskan perjalanan ke Sepang menerusi perkhidmatan ERL di Putrajaya Sentral dinasihatkan mengambil kira masa perjalanan yang lebih panjang.
Rapid KL turut menyarankan penumpang menggunakan laluan alternatif melalui Stesen ERL KL Sentral dan Stesen ERL Bandar Tasik Selatan.
Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penumpang, anggota polis bantuan serta petugas stesen ditempatkan di platform dan ruang legar stesen bagi membantu pengguna.
Pengumuman berkala mengenai jadual perjalanan tren turut dibuat di stesen.
Rapid KL berkata, pihaknya memandang serius kejadian kecurian kabel yang boleh menjejaskan kelancaran perkhidmatan dan keselamatan operasi.
Orang ramai disarankan mendapatkan maklumat terkini mengenai status perkhidmatan menerusi laman media sosial Rapid KL dan aplikasi perjalanan MyRapid PULSE.










