BATU PAHAT: Seorang pelajar perempuan tingkatan empat ditemukan meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah di sebuah dewan sekolah menengah di Yong Peng, petang semalam, dalam kejadian dipercayai membabitkan kes bunuh.
Mangsa berusia 16 tahun itu dikatakan hadir ke sekolah berkenaan untuk menghadiri kelas tuisyen pada sebelah petang sebelum ditemukan tidak sedarkan diri.
Menurut sumber, kejadian mula disedari nenek mangsa selepas menerima pertanyaan daripada rakan remaja itu yang ingin mengetahui sama ada mangsa berada di rumah atau tidak, tengah hari semalam.
Katanya, nenek mangsa yang menyedari remaja itu tiada di rumah kemudian bergegas ke sekolah sebelum menemukannya terbaring dalam keadaan lemah di dalam dewan.
“Ketika ditemukan, terdapat kesan darah yang sudah kering serta lebam pada tubuh mangsa dipercayai akibat dipukul.
“Mangsa ketika itu masih sedar sebelum keadaannya semakin merosot dan tidak sedarkan diri,” katanya.
Sumber itu berkata, mangsa merupakan anak yatim yang tinggal bersama neneknya di daerah berkenaan selepas kematian ibunya, manakala bapanya bekerja di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian dan butiran berkaitan kes.










